Kuala Lumpur ─ Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail mengalu-alukan hasrat Arkib Negara Malaysia untuk mewujudkan sebuah pejabatnya di Perlis ketika berkenan berangkat mengadakan lawatan kerja ke Arkib Negara Malaysia yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur, semalam.
Baginda telah menzahirkan penghargaan atas usaha berterusan Arkib Negara Malaysia dalam memelihara warisan sejarah negara secara umum, khususnya kepada negeri Perlis.
Ketibaan Baginda ke Ibu Pejabat Arkib Negara turut disambut oleh Menteri Perpaduan Negara, Yang Berhormat (YB) Datuk Aaron Ago Dagang, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan, Yang Berbahagia (YBhg.) Datuk Haslina Abdul Hamid dan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, YBhg. Datuk Jaafar Sidek Hj. Abdul Rahman.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin meluangkan masa hampir tiga jam dalam lawatan berkenaan selain turut dipersembahkan penerangan mengenai koleksi terpenting Arkib Negara Malaysia yang berkaitan dengan Negeri Perlis dan sejarahnya.
Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, YBhg. Datuk Jaafar Sidek Haji Abdul Rahman memaklumkan mengenai perancangan Arkib Negara untuk menubuhkan Majlis Sejarawan Negara kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, YBhg. Datuk Jaafar Sidek Hj. Abdul Rahman memaklumkan mengenai perancangan Arkib Negara bagi menubuhkan Majlis Sejarawan Negara ketika lawatan di Arkib Negara itu berlangsung.
Menurut kenyataan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Arkib Negara Malaysia yang telah ditubuhkan pada tahun 1957 dengan nama asal Pejabat Rekod Awam yang kini berfungsi di bawah seliaan Kementerian Perpaduan Negara sejak tahun 2022.
Agensi ini menjalankan peranan utama dalam pengurusan rekod awam, pentadbiran arkib dan pengendalian arkib memorial negara.
Setakat ini, sebanyak 11,670 rekod yang berkaitan dengan Negeri Perlis telah direkod dan disimpan oleh Arkib Negara, termasuk bahan berharga berkaitan adat istiadat Melayu.
Lawatan ini melakar satu lagi detik bersejarah dalam hubungan strategik antara Negeri Perlis dan Arkib Negara Malaysia ke arah memperkasakan dokumentasi sejarah dan memperkukuh nilai warisan bangsa untuk tatapan generasi akan datang.
Cadangan asal ini dipertimbangkan agar diwujudkan sebuah pejabat Arkib Negara Malaysia sendiri di negeri Perlis telah diutarakan oleh Tuanku Raja Muda Perlis dalam satu majlis di ibu negara pada Disember 2023 yang lalu.
Berangkat bersama-sama dalam lawatan ini ialah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan DYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Kunjungan turut diiringi oleh Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Yang Amat Mulia (YAM) Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, YAM Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan YAM Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Turut disertai, Mufti Negeri Perlis, YBhg. Datuk Arif Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), YBhg. Dr. Haji Hazman Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, YBrs. Haji Mohd Nazim Mohd Noor.