BRIAN YULIARTO MENGHADAP RAJA MUDA PERLIS, BINCANG KERJASAMA PENDIDIKAN TINGGI

Jakarta, 19 Sept – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima menghadap Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi Indonesia, Brian Yuliarto di Jakarta semalam bagi membincangkan peluang kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi.

Pertemuan kira-kira setengah jam itu turut disertai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Ir. Dr. Mohd Shukry Abdul Majid.

Brian dalam kenyataannya selepas pertemuan itu berkata, pelbagai bidang boleh diterokai bersama, khususnya dalam kejuruteraan serta teknologi nano yang menjadi antara kepakaran UniMAP.

“Sangat banyak bidang yang sesuai, dari kejuruteraan hingga teknologi nano. Saya sendiri pernah bekerjasama dengan salah seorang profesor dari UniMAP dan melihat potensi besar untuk kita kembangkan,” katanya.

Menurut beliau, cadangan kerjasama termasuklah program ijazah bersama, ijazah berganda serta penawaran biasiswa untuk pelajar Indonesia menyambung pengajian peringkat sarjana (S2) dan doktor falsafah (S3) di UniMAP.

“Kerjasama profesor pelawat juga sangat disambut baik kerana ia mampu meningkatkan kualiti pendidikan tinggi di kedua-dua negara,” tambahnya.

Sementara itu, Prof. Mohd Shukry berkata, UniMAP amat berbesar hati untuk memperkukuh hubungan akademik, penyelidikan dan pembangunan modal insan dengan institusi di Indonesia.

“Kami mengusulkan beberapa bentuk kerjasama strategik, antaranya tawaran tempat pengajian pascasiswazah dengan skim diskaun berkumpulan untuk pensyarah dan pelajar Indonesia.

“Selain itu, kami juga mahu mempergiat promosi program prasiswazah, khususnya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi yang menjadi kekuatan UniMAP,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama dalam penyelidikan dan inovasi sangat diharapkan, khususnya berkaitan teknologi hijau, semikonduktor, nanoteknologi serta agenda kelestarian global.

–– BERNAMA

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.