KANGAR: “Budaya integriti bukan satu pilihan, tetapi keperluan mutlak,” demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menegaskan kepentingan nilai integriti dalam pentadbiran hal ehwal Islam di negeri ini.
Titah baginda, kepercayaan masyarakat merupakan modal paling berharga yang menjadi teras dalam memacu keberkesanan organisasi.
“Kepimpinan berintegriti, berwibawa dan berjiwa rakyat akan melahirkan organisasi yang dihormati dan berkesan. Pemimpin itu bukan sahaja menyampaikan arahan, tetapi memimpin dengan contoh.
“Perubahan tidak akan datang melalui slogan, tetapi melalui tindakan nyata yang diketuai oleh mereka yang ikhlas dan berjiwa besar,” titah Tuanku penuh makna.
Menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), baginda turut menggesa agar pendekatan baharu dan luar kotak diteroka dalam usaha memperkasa pentadbiran Islam.
“Berfikirlah melangkaui garis masa dan kelaziman. Kita mesti berani keluar daripada zon selesa, mencuba pendekatan baharu yang berpaksikan inovasi, digitalisasi, kerjasama rentas agensi serta libat urus masyarakat di peringkat akar umbi,” titah baginda lagi.
Titah tersebut disampaikan sempena Muzakarah Hala Tuju Hal Ehwal Islam Negeri Perlis 2026–2030 yang berlangsung di Dewan Bakawali, Mess Pegawai Kanan PDRM, Jalan Raja Muda, di sini semalam..
Tuanku Syed Faizuddin selaku Yang DiPertua MAIPs turut menzahirkan harapan agar jabatan dan badan berkanun yang terlibat dalam hal ehwal Islam memperkukuh komitmen terhadap pembangunan ummah serta peningkatan mutu perkhidmatan.
Muzakarah berkenaan dianjurkan oleh MAIPs dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Perlis, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).
Juga Faizuddin Center of Educational Excellence (FCoEE), Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) dan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM).
Keberangkatan baginda turut disertai Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan disambut Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Negeri, Ustaz Mohammad Azmir Azizan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Ustaz Mohd Nazim Mohd Noor.
Majlis dimulakan dengan pembentangan Cadangan Inisiatif Pelan Strategik Holistik MAIPs 2026–2030, disusuli sesi muzakarah, semalam.
Tuanku Raja Muda turut berkenan menyempurnakan perasmian Pelan Strategik MAIPs 2026–2030 serta memotong kek sebagai simbolik sambutan 25 tahun pemasyhuran Baginda sebagai Raja Muda Perlis. – HARAKAHDAILY 3/8/2025