Budaya saling melengkapi, bekerjasama bentuk sinergi tingkat mutu perkhidmatan – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
7 OKT. 2025

Budaya saling melengkapi dan bekerjasama membentuk sinergi yang mempercepatkan lagi proses penyelesaian masalah, menggalakkan inovasi dan meningkatkan mutu perkhidmatan dalam sesebuah organisasi.

Pada masa yang sama, setiap pegawai dan anggota sesebuah organisasi itu harus sentiasa peka terhadap perubahan serta berani mencadangkan pendekatan baharu yang mampu menyelesaikan cabaran semasa dengan kreatif dan efisien.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selepas berkenan mengetuai program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di sekitar Jejawi Dalam dekat Kangar baru-baru ini.

Kayuhan amal ini merupakan salah satu usaha berterusan MAIPs dalam memperkukuh peranan menyantuni golongan asnaf serta masyarakat yang memerlukan.

BERKONSEPKAN KAYUHAN BERBASIKAL

Program berkonsepkan kayuhan berbasikal ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah menjadi wadah menghulurkan sumbangan zakat dan bantuan kebajikan secara langsung kepada penerima.

MAIPs kekal komited melaksanakan pelbagai inisiatif berteraskan kebajikan dan pembangunan ummah, dengan Kayuhan MAIPs Peduli terus diangkat sebagai salah satu ikon kebajikan negeri Perlis.

Sempena kayuhan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada tiga penerima asnaf terpilih, iaitu Yah Hasin, 92, dari Kampung Jejawi Utan Buloh, Mustaffa M Isa, 79, dari Taman Gasing Jejawi, serta Borhan Man, 62, dari Kampung Jejawi Dalam.

Setiap penerima menerima sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM700, bersama Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah sebagai tanda keprihatinan dan kasih sayang terhadap mereka yang memerlukan. – JM

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.