Kuala Lumpur: Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perlis dengan kerjasama Media Prima Berhad (Media Prima) menerbitkan Coffee Table Book bertajuk ‘Legasi Kepemimpinan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail’.
SUK Perlis dalam kenyataan di Facebook, semalam, memaklumkan, penerbitan buku berkenaan bertujuan mendokumentasikan perjalanan kepimpinan dan sumbangan besar Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sepanjang 25 tahun pemerintahan baginda sejak ditabalkan sebagai Raja Perlis pada 14 April 2000.
“Buku itu menampilkan koleksi gambar eksklusif, kronologi penting dan catatan peristiwa bersejarah yang memperlihatkan keperibadian, kepimpinan serta sumbangan baginda dalam pelbagai bidang termasuk aspek pentadbiran, pembangunan negeri, perpaduan rakyat termasuk hubungan diplomatik luar negara.
“Pelancaran buku ini menandakan satu lagi detik bersejarah yang mengangkat warisan kepimpinan dan perjuangan baginda sebagai sumber inspirasi dan teladan kepimpinan unggul untuk masa depan.
“Semoga naskhah ini akan menjadi satu lagi khazanah berharga yang dapat dijadikan rujukan generasi akan datang dalam menghayati legasi kepimpinan baginda yang berwibawa dan berjiwa rakyat,” kata kenyataan berkenaan.
Dalam pada itu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail juga berkenan berangkat ke majlis berkenaan yang berlangsung di Luminare Hall, Petaling Jaya, semalam.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama ke majlis itu, Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis, Tuan Yang Zaimey Yang Ghazali; Pegawai Kewangannya, Saharuddin Sarwan dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Mutiara Perlis Sdn Bhd, Datuk Shabaruddin Ibrahim.
Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pembangunan), Rusdi Yahya dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pengurusan), Dr Noriman Rojulai.