Kangar 24 Oktober 2025
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperkenalkan “Buku Siri Asas Kanak-Kanak Muslim”, iaitu inisiatif baharu dalam usaha membina bahan pembelajaran agama yang menyeronokkan dan mudah difahami untuk murid berumur antara 7 hingga 12 tahun.
Buku tersebut akan digunakan melalui Program Sekolah Integrasi Perlis (SIPs) dan menjadi kesinambungan kepada kejayaan penerbitan Buku Tafsir Ringkas Faizuddin, yang telah menjadi rujukan penting dalam pendidikan Islam di negeri ini.
Persembahan maklum berhubung inisiatif berkenaan dipersembahkan kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selepas baginda berkenan mengetuai Program Kayuhan MAIPs Peduli yang berlangsung di sekitar Kampung Utan Aji, dekat Kangar, baru-baru ini.
Dalam sesi taklimat yang sama, turut dimaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah meluluskan permohonan tambahan 50 kuota baharu guru KAFA di Perlis, khusus bagi kelas SIPs Pratahfiz dan Murid Berkeperluan Khas (MBK), menjadikan jumlah keseluruhan guru KAFA di negeri ini kini 850 orang.
Program kayuhan amal berimpak tinggi tersebut menggabungkan elemen sukan, kebajikan dan dakwah dalam satu pendekatan holistik, bertujuan mendekati masyarakat khususnya golongan asnaf dan B40. Aktiviti kayuhan santai ini bukan sekadar riadah, tetapi menjadi medium penyampaian kasih sayang dan keprihatinan terhadap rakyat.
Kayuhan MAIPs Peduli dilaksanakan secara berperingkat di setiap mukim di negeri Perlis, menjadikan setiap hentian kayuhan sebagai platform penyampaian zakat, bantuan pendidikan dan keperluan asas kepada penerima yang layak.
Sempena program kali ini, Tuanku Raja Muda selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada tiga penerima asnaf terpilih — Che Yah Hashim, 72, dari Kampung Surau Utan Aji; Melor Senapi, 77, dari Kampung Ujong Batu; dan Hashim Musa, 77, dari Kampung Surau Utan Aji.
Setiap penerima menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM700, berserta Kit MAIPs Peduli dan beras fidyah, sebagai simbol kasih sayang dan perhatian berterusan Tuanku Raja Muda serta MAIPs terhadap kesejahteraan rakyat negeri Perlis.