Cendana Auto teroka peluang kerjasama dengan UniMAP

4November 2025.
Pauh Putra.

Cendana Auto Sdn. Bhd. teroka peluang-peluang baru untuk menjalinkan kerjasama dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Cendana Auto Sdn. Bhd. merupakan antara peneraju utama dalam memperkukuh ekosistem industri pertahanan negara, khususnya melalui pembangunan teknologi automotif tempatan.

Lebih 80 peratus komponen kenderaan yang dihasilkan syarikat itu kini menggunakan sumber tempatan, sekali gus memperlihatkan komitmen tinggi terhadap agenda pendigitalan dan keupayaan kejuruteraan dalam negara.

Naib Canselor UniMAP, Prof Datu Dr Zaliman Sauli menerima kunjungan Pengarah Eksekutif, Datuk Abdul Rauf Nassiruddin, bersama Datuk Saiful Izhar Senawi, yang turut memegang jawatan Pengarah Eksekutif, serta Ketua Komunikasi Korporat syarikat berkenaan, Ruzaini Abd Razak.

Terdahulu daripada itu Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Canselor, berkenan menerima mengadap delegasi tersebut di Bilik Canselor, Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Alam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Pauh Putra.

Pada bulan Julai 2025 yang lalu Tuanku Syed Faizuddin Putra diiringi anakanda-anakanda, Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail serta Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Kilang Cendana Auto Sdn. Bhd. di Semenyih, Selangor.

Tuanku Raja Muda turut mengalu-alukan syarikat berkenaan mempertimbangkan untuk melabur di Perlis sebagai perancangan pengembangan masa hadapan mereka mengambil kira segala potensi sedia ada yang dapat ditawarkan oleh negeri ini.

Untuk rekod, ditubuhkan sebagai penyedia perkhidmatan baik pulih automotif, Cendana Auto Sdn. Bhd. kemudiannya berkembang pesat ke arah penyelidikan, pembangunan serta pembuatan kenderaan khas dan taktikal bagi kegunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pelbagai agensi penguatkuasaan.

Kini, syarikat ini terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju dalam pembangunan dan pembuatan kenderaan taktikal serta penyelenggaraan automotif bagi sektor pertahanan negara, selaras dengan aspirasi Malaysia untuk mempertingkat keupayaan industri pertahanan tempatan ke peringkat global.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.