Oleh: Sholina Osman
23 OKT. 2025
Umat negeri Perlis perlu diberi pendedahan dan didikan tentang literasi kewangan sejak di peringkat usia muda lagi bagi melahirkan generasi yang celik wang, berdisiplin dalam perbelanjaan serta berupaya membuat keputusan kewangan yang bijak.
Pendidikan kewangan yang diterapkan sejak muda akan dapat membentuk sikap bertanggungjawab terhadap pengurusan wang dan menjadi asas kepada kestabilan ekonomi individu serta keluarga masing-masing.
Pendidikan literasi kewangan bukan sekadar mengenai kemahiran mengira atau menabung, tetapi turut merangkumi kefahaman terhadap nilai wang, keutamaan perbelanjaan, serta kesedaran tentang pentingnya menabung, melabur secara berhemah dan mengelak daripada berhutang tanpa kawalan.
MEMBANTU GENERASI MUDA
Usaha ini akan membantu generasi muda Perlis membina asas ekonomi yang kukuh, selain menjadikan mereka lebih bersedia menghadapi cabaran kewangan masa depan.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di sekitar Bukit Chabang, Padang Besar.
Melalui kayuhan ini, Tuanku Syed Faizuddin Putra diiringi Pengurusan tertinggi MAIPs serta Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Negeri dan Persekutuan menyantuni keluarga asnaf, menyampaikan sumbangan zakat dan meninjau keadaan sosioekonomi rakyat di setiap lokasi yang dilawati.
MEMPERKUKUH HUBUNGAN ERAT
Inisiatif berterusan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan erat antara pemimpin dan rakyat, malah menjadi wadah penting dalam memupuk semangat keprihatinan sosial serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab berzakat.
Dalam kesempatan tersebut, Baginda turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs kepada asnaf terpilih berupa wang tunai sebanyak RM700, Kit MAIPs Peduli, serta beras fidyah.
Antara asnaf yang menerima sumbangan pada edisi kali ini ialah Fatimah Othman, 60 dari Kampung Baru Bukit Chabang, Kelesom Kasim, 72 dari Kampung Guar Titi Tinggi, dan Manis Saad, 86 dari Kampung Baru Bukit Chabang. – JM