KANGAR, 18 April 2019 (Khamis) – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya membuktikan graduan kejuruteraannya diterima baik oleh industri dan kekal berkhidmat sebagai jurutera atau jurutera teknologi sebaik tamat pengajian.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Pusat Kerjasama Industri dan Kerajaan (CIGC) UniMAP, peratusan graduan mendapat pekerjaan melebihi kadar 80 peratus setiap tahun.
Titah baginda, sekiranya diperincikan mengikut sektor perkhidmatan pula, sekitar 31.38 peratus graduan bekerja dalam sektor pembuatan; 19.4 peratus dalam sektor saintifik dan teknikal; 11 peratus dalam sektor pembinaan dan 6 peratus dalam sektor maklumat dan komunikasi.
Secara umumnya, titah baginda, data ini membuktikan graduan kejuruteraan UniMAP bekerja mengikut bidang yang diambil sewaktu di universiti iaitu antaranya kejuruteraan pembuatan, kejuruteraan alam sekitar dan bangunan serta kejuruteraan komputer dan perhubungan.
Demikian titah Raja Muda Perlis yang juga merangkap Tuanku Canselor universiti, selepas berkenan berangkat menyaksikan majlis penandatanganan Surat Niat Kerjasama di antara UniMAP dengan Hadramout University dari Yemen yang diadakan di Library Lounge, Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra UniMAP di Pauh Putra.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal menandatangani bagi pihak UniMAP manakala Hadramout University pula oleh Rektornya, Mohamed Saeed Khanbash.
Untuk rekod, terkini Clarivate Analytics dan Kementerian Pendidikan dalam Laporan Pencapaian Penyelidikan dan Inovasi Universiti di Malaysia 2013-2017 turut menyebut UniMAP diterima baik oleh sektor industri di Amerika Syarikat dan China terutama oleh syarikat berasaskan teknologi robotik.
Semalam pula, dalam satu sesi temuduga yang dikendalikan oleh sebuah syarikat MNC ternama, enam dari lapan pelajar tahun akhir UniMAP yang menghadiri sesi tersebut telah ditawarkan pekerjaan sebaik tamat pengajian Jun ini.
Tarikh kemaskini: 3/6/2025