Hubungan Perlis – Andaman Thailand Diperkukuh Melalui Sesi Libat Urus Perkahwinan Luar Negara

Kangar, 3 Oktober 2025 –

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, hari ini berkenan berangkat menyantuni delegasi enam wilayah Andaman, Thailand dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Kuliyyah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Pengkalan Asam.

Keberangkatan Baginda disambut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Maizura Shamsuddin.

Delegasi tersebut mewakili wilayah Krabi, Phuket, Satun, Phang Nga, Ranong dan Trang, hadir ke Perlis sempena Sesi Libat Urus Garis Panduan Pendaftaran Perkahwinan Luar Negara di Negeri Perlis Tahun 2025. Mereka diketuai Penasihat Andaman Islamic Committee Leaders Federation Thailand merangkap Pengerusi Majlis Agama Islam Krabi, Asnawi Mukura.

Turut serta, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Phuket, Somdech Mankarn; Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Satun, Nuruddin Yayaman; Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Phang Nga, Prasert Prasankan; Setiausaha Majlis Agama Islam Ranong, Yuranan Manjit; serta Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Trang, Banleur Muaddewa.

Dalam ucapannya, Mohd Nazim menegaskan bahawa perkongsian pengurusan fail yang dikendalikan JAIPs menjadi simbol kesungguhan dalam memperkukuh tadbir urus Islam merentasi sempadan negara.

“Sebagai sebuah institusi yang dipertanggungjawabkan dalam hal ehwal Islam, aspek menjaga kepentingan agama perlu sentiasa diberi keutamaan agar perkhidmatan terbaik dapat disampaikan demi kepentingan agama dan kesejahteraan masyarakat keseluruhannya,” ujar beliau.

Lawatan bersejarah ini sekali lagi mengukuhkan hubungan erat antara Perlis dan enam wilayah Andaman, bukan sahaja dalam aspek keagamaan tetapi juga pendidikan Islam serta pembangunan masyarakat Muslim secara menyeluruh.

MAIPs dalam kenyataannya turut menegaskan komitmen untuk memastikan perkongsian ilmu, kepakaran serta pengalaman dapat terus dilaksanakan sejajar dengan hasrat kemakmuran bersama, sekali gus memberi impak positif kepada komuniti Muslim di kedua-dua negara.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.