Oleh: Sholina Osman
18 OKT. 2025
Ilmu dan idea merupakan dua kekuatan utama yang membentuk tamadun manusia.
Tanpa ilmu, manusia akan terperangkap dalam kejahilan; tanpa idea, kita akan terbelenggu dalam kejumudan fikiran.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Festival of IDEAS Perlis di Dewan Ilmu, Kampus Alam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Pauh Putra.
Baginda bertitah, festival ini bukan sekadar medan untuk berkongsi pengetahuan, tetapi juga ruang menyemai semangat baharu, membina jalinan dan menyalakan api inspirasi demi kemajuan negeri serta kesejahteraan rakyat.
MENJADI MERCU TANDA
“Saya percaya festival ini juga akan terus menjadi mercu tanda kecemerlangan intelektual dan inovasi di negeri ini. Semoga segala idea dan ilham yang terhasil daripada festival ini akan diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang memberi manfaat besar kepada masyarakat, negeri dan negara,” titah Tuanku Raja Muda.
Keberangkatan tiba Tuanku Syed Faizuddin Putra, yang juga Tuanku Canselor UniMAP, disambut oleh Naib Canselor, Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli.
Turut hadir sama Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Mohd Zaffwan Ab Ghafar dan Pengarah Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Prof. Madya Ir. Dr. Ahmad Mukifza Harun.
MENGANJURKAN FESTIVAL ILMU
UniMAP diberi kepercayaan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menganjurkan festival ilmu dan inovasi peringkat negeri Perlis sebagai manifestasi komitmen universiti tersebut dalam memperkukuh budaya ilmu, kreativiti serta keusahawanan.
Festival yang berlangsung dari 17 hingga 19 Oktober 2025 ini membawa tema “Solusi Inklusif, Komuniti Progresif”, menjadi wadah perkongsian ilmu dan inspirasi merentas pelbagai bidang melibatkan penyertaan para ilmuwan, usahawan, pelajar, penggiat seni dan masyarakat umum.
Antara pengisian menarik termasuk wacana ilmiah dan forum idea bersama tokoh pemikir tempatan serta nasional, pertandingan bakat muda yang menonjolkan kreativiti generasi baharu, pameran industri dan inovasi, festival makanan dan budaya, serta persembahan seni dan hiburan rakyat.
Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai aktiviti berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang setiap hari, dijangka menarik ribuan pengunjung dari dalam dan luar negeri Perlis.
MEMPERKASA POTENSI RAKYAT
Festival Idea Perlis ini bukan sahaja pesta ilmu, tetapi inisiatif strategik yang memperkukuh budaya ilmu, memperkasa potensi rakyat dan membuka ruang jaringan antara institusi pendidikan, industri serta masyarakat.
Dalam majlis yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian Festival Idea Perlis dan menyaksikan majlis penyerahan Memorandum Persefahaman (MoA) serta Perjanjian Pelesenan Harta Intelek antara UniMAP dan rakan industri.
Antara syarikat yang terlibat ialah Richard Sdn. Bhd., Future Farm Solutions Sdn. Bhd., dan MAB Serata Enterprise, sebagai usaha memperkukuh kolaborasi dalam bidang penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan produk.
Tuanku Raja Muda sebelum itu berkenan meninjau rerurai masakan tradisional antarabangsa negara Bangladesh, China, Korea Selatan, Jepun, Libya dari pelajar UniMAP dan Thailand, Indonesia, Afghanistan, Yemen serta Sudan dari Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ). – JM