Ilmu yang dipelajari di universiti hendaklah dimanfaatkan, dikembangkan – Raja Muda Perlis

Ilmu yang dipelajari di universiti hendaklah dimanfaatkan, dikembangkan – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
27 NOV. 2025

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa ilmu yang dipelajari di universiti hendaklah dimanfaatkan dan dikembangkan, bukan sekadar untuk dihafal semata-mata.

Baginda bertitah ini memandangkan dunia masa kini menghargai individu yang berkeupayaan menyesuaikan diri serta mencipta peluang baharu.

Justeru, titah Baginda gunakanlah kemahiran yang dimiliki untuk menghasilkan solusi inovatif dalam pelbagai bidang.

Jadilah tenaga kerja yang mahir, berfikiran kritikal, kreatif, serta berani meneroka cabaran baharu.

BERDEPAN KRISIS IKLIM

Baginda menegaskan bahawa dunia kini berdepan krisis iklim, pencemaran dan ketidaksamaan sosial.

Maka, dalam setiap pekerjaan dan keputusan, fikirkanlah impaknya terhadap alam sekitar dan kesejahteraan sesama insan.

Para siswazah harus tampil sebagai penyelesai masalah dunia sebenar juruteknik yang memahami erti kelestarian, pereka yang menegakkan etika, dan warga yang benar-benar menghayati tanggungjawab.

Peganglah nilai kejujuran, disiplin, hormat dan kesungguhan sebagai asas maruah serta kejayaan.

CARA KITA BEKERJA

Dunia moden mungkin mengubah cara kita bekerja, tetapi tidak sekali-kali menggantikan keikhlasan dan ketabahan.

Jangan takut akan kegagalan, bangkitlah daripada setiap cabaran untuk mencapai kejayaan yang lebih besar,” titah Baginda lagi.

Titah berkenaan dizahirkan oleh Raja Muda selaku Tuanku Canselor menerusi rakaman video sempena Sidang Ketujuh Istiadat Konvokesyen 20 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra, baru-baru ini.

PRO CANSELOR 2

Istiadat pada petang tersebut telah disempurnakan oleh Pro Canselor 2 UniMAP, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, yang baharu dilantik berkuat kuasa 22 November 2025.

Seramai 489 graduan Diploma menerima skrol masing-masing melibatkan Fakulti Komputeran Cerdas (FKC), Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Mekanikal (FKTM), Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektronik (FKTEN), Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia (FKTK) serta Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik (FKTE). – JM

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.