ARAU: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan sesiapa sahaja yang bergejala Covid-19 untuk jujur dan menjalani kuarantin kendiri mengikut nasihat pakar kerana wabak tersebut sama sekali tidak mengenal usia, darjat dan status.
Baginda bertitah, elak bersifat pentingkan diri sendiri tanpa memikirkan orang lain dengan tingkah laku yang boleh menyebarkan wabak tersebut.
“Slogan ‘kita jaga kita’ perlu menebal dalam jiwa setiap rakyat. Sifat empati dalam kalangan rakyat terhadap petugas barisan hadapan haruslah dipertingkat.
“Dalam masa sama, mereka yang belum divaksin haruslah segera mendapatkan suntikan vaksin tersebut di pusat pemberian vaksin (PPV),” titah baginda selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sempena program Hijrah Minda MAIPs di Masjid Al Munawwarah, Kampung Sungai Bugis, Simpang Empat, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Baginda turut menyampaikan bantuan kepada amil masjid itu, Mohd Zaki Abd Ratin untuk diagihkan kepada 29 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid berkenaan .
Setiap seorang menerima RM400 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM11,600.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Sirajuddin Hashim berkata, pandangan serongterhadap vaksin haruslah diketepikan terutamanya terhadap petugas barisan hadapan.
“Kerjasama rakyat amat diharapkan agar bebanan di hospital dan fasiliti kesihatan dapat dikurangkan apabila kes-kes jangkitan Covid-19 yang serius dapat dicegah,” katanya.
Tarikh kemaskini: 4/23/2025