KUALA LUMPUR, 11 Oktober 2025 — Majlis Malam Perlis bukan sekadar pertemuan tahunan, sebaliknya menjadi wadah penting yang menghubungkan anak-anak Perlis di perantauan untuk mempererat hubungan kekeluargaan, memupuk semangat jati diri serta menzahirkan kecintaan yang mendalam terhadap negeri kelahiran masing-masing.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan Majlis Malam Perlis 2025 yang berlangsung penuh meriah di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, malam tadi.
Baginda bertitah, tema tahun ini, “Inilah Perlis”, amat bertepatan dan penuh makna kerana ia bukan sahaja mencerminkan identiti negeri, malah turut mengangkat martabat Perlis di persada nasional dengan menonjolkan keindahan budaya, adat serta warisan yang menjadi kebanggaan bersama.
“Beta berharap agar usaha murni sebegini dapat melahirkan generasi anak Perlis yang berilmu, berdaya saing dan berpandangan jauh, namun tetap menghargai akar budaya sendiri.
Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) diseru agar terus menjadi pemangkin dalam memperkasa kualiti diri, memperluas peluang serta menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara,” titah Baginda.
Keberangkatan tiba Raja Perlis turut diiringi oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, serta Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut berangkat sama, anakanda-anakanda puteri Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Tokoh Perlis Dihargai
Pada majlis yang dianjurkan oleh Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) itu, Raja Perlis berkenan menyempurnakan Pengurniaan Anugerah Tokoh PPKL kepada ahli perniagaan terkemuka dan bekas pemimpin Renong/UEM Group, Tan Sri Datuk Seri Halim Saad, serta Anugerah Tokoh Usahawan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis kepada Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding, Bryan Loo — kedua-duanya merupakan anak jati Perlis yang berjaya di peringkat nasional.
Baginda turut berkenan melancarkan Coffee Table Book sempena 38 Tahun Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis, yang mendokumentasikan perjalanan dan sumbangan yayasan tersebut dalam memperkasa pendidikan serta kebajikan rakyat Perlis.
PPKL Terus Relevan dan Unggul
Dalam pada itu, Baginda menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan serta seluruh ahli PPKL atas dedikasi dan komitmen mereka dalam menjayakan Malam Perlis 2025, serta berharap agar persatuan yang kini mempunyai lebih 1,400 ahli itu terus kekal relevan dan unggul dalam memperjuangkan agenda kebajikan, pendidikan serta pembangunan insan anak-anak Perlis di perantauan.
Majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan kebudayaan, tayangan video khas “Inilah Perlis”, dan sesi ramah mesra bersama anak-anak Perlis yang menetap di Lembah Klang dan sekitarnya.