13 NOV. 2025
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah Islam merupakan agama yang menyeru umatnya agar sentiasa bekerjasama dalam mengajak kepada kebaikan serta pada masa yang sama mencegah segala bentuk kemungkaran yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam.
Baginda bertitah, dalan merealisasikan hasrat yang murni ini, umat Islam perlu bersatu hati dan berganding bahu tanpa mengira bangsa mahupun sempadan negara.
Segala gerakan dakwah Islam berkongsi satu matlamat sejagat iaitu menegakkan kesucian tauhid, menyebarkan ilmu serta akhlak mulia, dan menyatukan umat di bawah panji keadilan serta rahmat Islam.
“Matlamat yang luhur ini berpaksikan kepada al-Quran dan as-Sunnah. Kedua-duanya menjadi jambatan yang menyatukan umat Islam walaupun berbeza bangsa, negara dan latar belakang mazhab,” titah Baginda.
HASRAT DAN MATLAMAT
“Dengan kesatuan hasrat dan matlamat ini, penyebaran dakwah Islam dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan berkesan melangkaui sempadan negara dan benua melalui kerjasama dakwah bertaraf global,” titah Baginda lagi.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Majlis Ilmuwan Nusantara (MIN) Kali Ketiga dan Majlis Ilmuwan Afrika (MIA) 2025 yang diadakan di Kompleks Seri Putra, Kangar.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Mufti Perlis, Datuk Prof Dr. Mohd Asri Zainul Abidin serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Haji Mohd Noor.
Para peserta dari benua Afrika yang hadir adalah Sheikh Musa Sindayigaya, Mufti Rwanda; Prof Ademi Kamil Faris, Jawatankuasa Islam Ethiopia; Dr Ahmad Cheikhyoussef, Pusat Islam Windhoek Namibia; dan Rufae Abdullahi, Pengurus Jabatan Zakat dan Waqf Kenya Red Cross.
PERSAMAAN DAN PERBEZAAN
Persidangan yang bertemakan “Ta‘awun Dalam Dakwah: Antara Persamaan dan Perbezaan” ini dianjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Ia menghimpunkan seramai 23 orang anggota Majlis Ilmuwan Nusantara serta 4 orang anggota Nusantara–Africa Scholars Summit 2025, yang terdiri daripada 10 peserta dari Malaysia, 8 peserta dari Indonesia, 2 peserta dari Thailand, 1 peserta dari Kemboja, 2 peserta dari Singapura, serta masing-masing 1 peserta dari Ethiopia, Namibia, Rwanda dan Kenya.
Penganjuran persidangan ini bertujuan memperkukuh semangat ta‘awun atau kerjasama dalam gerakan dakwah, menjadi platform perbincangan dan pertukaran ilmu antara para ilmuwan Islam daripada pelbagai bidang, serta mengukuhkan jalinan strategik antara institusi keagamaan rantau Nusantara dan Afrika.
Melalui usaha seumpama ini, semangat persaudaraan Islam diharap dapat terus disemarakkan, sekali gus memperkasa misi dakwah sejagat yang berteraskan rahmat, keadilan dan perpaduan umat. – JM