KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merakam penghargaan kepada Jabatan Kehakiman Syariah Negeri kerana berjaya membangunkan Sistem eFaST berkenaan kaedah pengiraan faraid selapis.
Titah baginda dengan terbinanya sistem eFaST ia dapat meningkatkan lagi keprihatinan waris dalam pengurusan harta pusaka keluarga mereka.
“Sistem ini pastinya akan memudahkan ahli waris untuk mendapatkan perintah faraid dalam tempoh masa yang lebih singkat.
“Dan menggalakkan ahli waris untuk segera tampil ke hadapan bagi menyelesaikan isu pembahagian harta pusaka dalam tempoh yang sewajarnya,” titah baginda pada kenyataan hari ini.
Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs) akan menganjurkan ‘Faraid Simple Tier (eFaST) secara atas talian pada Khamis ini, dari Dewan Utama, Kompleks Darul Qada’ dan dirasmikan Raja Muda Perlis.
Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis berharap pegawai dan kakitangan JKSNPs sentiasa memberi perkhidmatan terbaik serta ikhlas kepada rakyat Perlis.
“Bersama-samalah membantu memikul peranan dalam pembangunan ummah dengan sebaik mungkin,” titah bagida.
Tarikh kemaskini: 4/23/2025