Oleh: Sholina Osman
25 OKT. 2025
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis dengan kerjasama Google Malaysia berhasrat merangka satu inisiatif strategik bagi mewujudkan ‘Google Reference School’ di negeri ini, sekali gus menjadikan Perlis antara negeri terawal di Malaysia yang berpotensi memperoleh pengiktirafan pendidikan digital bertaraf antarabangsa.
Jika berjaya dilaksanakan melalui kerjasama ini, sekolah terpilih di bawah JPN Perlis akan menerima bimbingan khusus bagi mencapai piawaian yang ditetapkan oleh Google untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai Google Reference School iaitu sekolah yang menjadi model rujukan dalam penggunaan teknologi pendidikan Google secara menyeluruh, inovatif dan berkesan.
Inisiatif ini turut sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memperkukuh agenda transformasi digital di sekolah serta mempertingkat kemahiran abad ke-21 dalam kalangan guru dan murid.
SESI SEMBAH MENGADAP
Maklumat berkenaan telah dipersembah maklumkan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin, kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dalam satu sesi sembah mengadap bersama delegasi Google Malaysia yang berlangsung di Galeri DiRaja Arau baru-baru ini.
Google Malaysia diwakili oleh Ketua Google, Google Education Malaysia, Danial Azizan Abdullah Henry, serta Pakar Penyelesaian Pembelajaran Pendidikan di Microsoft Malaysia Sdn. Bhd, Fairus Nadira.
Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan ucapan tahniah kepada pihak JPN Perlis yang sentiasa mencari jalan untuk menambah baik sistem pembelajaran di negeri ini dan berharap agar kerjasama strategik ini dapat direalisasikan.
“Jika menjadi realiti, usaha ini secara tidak langsung dapat memperkukuh ekosistem pendidikan digital di Perlis serta melahirkan warga sekolah yang celik teknologi, kreatif dan bersedia menghadapi cabaran pendidikan masa depan”, titah Tuanku Raja Muda Perlis lagi. – JM