Kadar bekerja graduan FPK UniMAP 98.4 peratus membanggakan – Raja Muda Perlis

Kadar bekerja graduan FPK UniMAP 98.4 peratus membanggakan – Raja Muda Perlis

PAUH PUTRA, 16 Nov – Pencapaian Fakulti Perniagaan dan Komunikasi (FPK), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang merekodkan Kadar Bekerja Graduan sebanyak 98.4 peratus bagi tahun 2025 membuktikan keupayaan universiti itu melahirkan graduan yang memenuhi keperluan industri.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah pencapaian membanggakan itu mencerminkan komitmen berterusan UniMAP dalam memastikan program akademik yang ditawarkan sentiasa relevan dengan perkembangan semasa dan kehendak pasaran pekerjaan.

Baginda yang juga Canselor UniMAP bertitah graduan yang dilahirkan bukan sahaja perlu mampu bersaing dalam dunia kerjaya, malah berupaya membawa nilai tambah kepada organisasi, industri dan masyarakat menerusi ilmu serta kemahiran yang dimiliki.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Ke-21 UniMAP Sidang Keempat di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra, hari ini.

Pada istiadat berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan mengurniakan ijazah kepada 520 graduan Sarjana Muda FPK.

Keberangkatan tiba baginda disambut Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli serta barisan pengurusan tertinggi universiti.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menitahkan agar graduan memanfaatkan ilmu, kepakaran dan kedudukan yang dimiliki untuk membawa kebaikan kepada rakyat serta menyumbang kepada kemajuan negara.

Baginda bertitah legasi seseorang bukan sekadar diukur berdasarkan kejayaan yang dicapai, sebaliknya turut dinilai melalui manfaat dan sumbangan bermakna yang ditinggalkan untuk generasi akan datang.

Sehubungan itu, baginda menyeru graduan supaya sentiasa mengamalkan budaya kerja profesional dan berkualiti, selain memastikan setiap tindakan serta penyampaian maklumat berlandaskan fakta yang tepat dan sahih.

Baginda turut menekankan kepentingan memupuk sikap saling menghormati, bekerjasama dan bertolak ansur bagi memperkukuh perpaduan serta mengekalkan keharmonian negara.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content