Kampung Seberang Ramai Ikon Transformasi Pelancongan Perlis

Jakarta, 18 September 2025
Kampung Seberang Ramai di Kuala Perlis terus mencipta sejarah tersendiri apabila kejayaan Program Transformasi Diraja Kampung Nelayan Warna-Warni diiktiraf sebagai model pembangunan komuniti yang berjaya. Hasil transformasi menyeluruh itu, perkampungan nelayan tradisional kini muncul sebagai sebuah destinasi pelancongan unik, ceria, dan penuh warna-warni yang mampu memikat hati pelawat dari dalam dan luar negara.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa kejayaan ini membuktikan impian kemajuan mampu direalisasikan apabila wujud kerjasama erat antara rakyat dan para pemimpin.
“Sesungguhnya kejayaan ini terhasil berkat sumbangan dan sokongan padu daripada pelbagai agensi, syarikat koporat, serta masyarakat setempat melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP),” titah baginda.

Promosi Masakan Perlis di Jakarta

Titah itu dizahirkan ketika Tuanku Raja Muda berangkat melancarkan Promosi Masakan Perlis berupa Kurma Daging Perlis di Hotel Pullman Jakarta, Indonesia. Program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), YTSP Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dan BMC Travel, sebagai sebahagian daripada kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2026 dan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Tuanku Raja Muda bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, diiringi delegasi International Leadership Mobility 2025 UniMAP, disambut mesra oleh Pengurus Besar Hotel Pullman Jakarta, Dan Benzaquen. Sajian istimewa itu pula dihasilkan oleh Chef Eksekutif Food & Beverage, Koay Chee Ming, anak Malaysia yang berkhidmat di hotel berkenaan.

Turut hadir ialah Menteri Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi Indonesia, Prof. Brian Yuliarto.

Perlis Makin Dikenali

Dalam kesempatan itu, Tuanku Syed Faizuddin turut berkongsi bahawa semakin ramai pelancong kini terpikat dengan keindahan Perlis. Keistimewaan negeri itu bukan sahaja melalui program ilmu dan pembangunan komuniti, malah juga pada alam semula jadinya yang mempesona.

“Alhamdulillah, sesiapa yang masuk ke Negeri Perlis dengan niat yang baik, akan merasai ketenangan dan suasana permai negeri ini. Maka, dipohon jasa baik semua yang hadir ke Perlis agar sentiasa mendoakan keberkatan, kebaikan dan kemakmuran negeri serta seluruh umatnya,” titah baginda.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content