Kasih Sayang Benteng Utama Institusi Keluarga – Raja Muda Perlis

kayuh

KANGAR, 19 Disember 2025 – Kasih sayang merupakan teras penting dalam membina serta memperkukuh institusi keluarga yang harmoni, sekali gus menjadi benteng utama dalam mendepani pelbagai cabaran sosial masa kini.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas Baginda berkenan berangkat menghadiri program MAIPs Peduli di sekitar kariah Sungai Batu Pahat baru-baru ini.

Baginda bertitah, institusi keluarga yang dibina atas asas kasih sayang, saling memahami dan keprihatinan mampu melahirkan masyarakat yang sejahtera, berakhlak serta berdaya tahan, khususnya dalam kalangan golongan yang berdepan dengan kesempitan hidup.

“Kasih sayang bukan sekadar ungkapan, tetapi perlu diterjemahkan melalui perhatian, tanggungjawab dan keprihatinan terhadap ahli keluarga, terutamanya anak-anak serta golongan yang memerlukan,” titah Baginda.

Program kayuhan tersebut bermula di Masjid Ar-Raudhah sebelum diteruskan dengan aktiviti ziarah dan penyampaian sumbangan kepada asnaf terpilih. Keberangkatan Raja Muda Perlis jelas mencerminkan keprihatinan institusi diraja terhadap kebajikan rakyat, khususnya golongan asnaf dan rentan.

Program berkenaan merupakan anjuran bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan organisasi Dr’ Love sebagai sebahagian daripada usaha berterusan menyemai nilai kasih sayang, empati dan sokongan moral dalam komuniti setempat.

Turut mengiringi Baginda ialah Senator Azahar Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hajah Mohd Nazim Mohd Noor, serta Pengasas Dr’ Love, Mohd Safwan Hassan.

Penerima sumbangan pada edisi kali ini ialah Muhammad Safar Majid, 67, dari Kampung Pokok Jawi; Azhar Azmi, 50, dari Kampung Hutan Ketiau; serta Mahmud Mohamad Salleh, 40, dari kampung yang sama.
Sementara itu, Mohd Nazim merakamkan penghargaan atas keberangkatan dan keprihatinan Raja Muda Perlis yang sentiasa memberikan sokongan padu terhadap inisiatif kebajikan MAIPs, khususnya menerusi program Kayuhan MAIPs Peduli yang menjadi medium mendekati rakyat secara langsung.

Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan bagi memupuk semangat kebersamaan, memperkukuh jaringan sokongan sosial serta menyuburkan nilai kasih sayang sebagai asas pembinaan keluarga dan masyarakat yang sejahtera di negeri ini.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.