Kayuhan Jalur Gemilang Perkukuh Semangat Kebersamaan Umat Negeri Perlis

PAUH, 29 Ogos 2025 – Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menegaskan bahawa nilai saling percaya, hormat-menghormati dan tolong-menolong perlu terus menjadi tonggak utama yang mengukuhkan ikatan kemasyarakatan seluruh umat di negeri Perlis.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan mengetuai program Kayuhan Jalur Gemilang 2025 anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di sekitar Padang Siding, Pauh baru-baru ini.

Turut berangkat mengiringi baginda ialah Waris Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Semarak kebersamaan

Program kayuhan amal yang disekalikan dengan inisiatif MAIPs Peduli bukan sahaja menjadi wadah mendekati rakyat, malah turut meringankan beban golongan memerlukan. Ia sekali gus memperkukuhkan nilai ukhuwah, semangat keprihatinan dan budaya saling membantu dalam kalangan umat Perlis, khususnya golongan asnaf.

Keseimbangan hidup dan pekerjaan

Dalam titahnya, Tuanku Raja Muda menekankan pentingnya keseimbangan antara tuntutan pekerjaan dan kehidupan peribadi. Menurut baginda, produktiviti kerja yang efisien perlu disertai pengurusan masa yang membolehkan rakyat menikmati kehidupan berkualiti bersama keluarga serta melibatkan diri dalam aktiviti riadah dan kemasyarakatan.

“Waktu pejabat yang teratur serta jarak tempat kerja yang dekat dengan kediaman seharusnya memberi ruang kepada umat untuk mempunyai lebih masa bersama keluarga. Gunakanlah juga kemudahan awam, taman rekreasi dan pusat sukan bagi mengisi masa lapang dengan aktiviti bermanfaat,” titah baginda.

Sentuhan keprihatinan

Sebagai tanda sokongan berterusan, Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs berkenan menyampaikan sumbangan kepada tiga penerima asnaf terpilih iaitu Zulkhibri Musa, 48, dari Kampung Padang Siding; Che Yah Mat Saman, 82, dari Kampung Padang Ringan; dan Timah Saad, 81, dari Kampung Rambai.

Setiap penerima menerima bantuan wang tunai RM700, selain Kits MAIPs Peduli dan beras fidyah.

Program ini mencerminkan usaha berterusan pihak istana dan MAIPs dalam memastikan semangat kebersamaan serta budaya hidup sederhana terus terpelihara dalam masyarakat Perlis.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.