KANGAR, 31 Mac 2026 — Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa keamanan merupakan nikmat terbesar yang wajib dihargai dan dipelihara kerana menjadi asas utama kepada kesejahteraan ummah serta kestabilan sesebuah negara.
Bersempena Sambutan Hari Polis ke-219, Baginda menyeru seluruh masyarakat khususnya di negeri ini agar sentiasa menginsafi nilai keamanan yang dinikmati, serta bersama-sama memainkan peranan dalam mengekalkannya.
Menurut Baginda, keupayaan pasukan keselamatan untuk terus teguh dan berkesan bergantung kepada tahap kesiapsiagaan anggotanya, yang perlu dilengkapi dengan latihan, kemahiran serta peralatan mencukupi bagi menghadapi ancaman keselamatan yang semakin kompleks.
Dalam pada itu, Baginda turut menzahirkan penghargaan terhadap kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan kegiatan jenayah dadah dengan rampasan sebanyak 510 kilogram methamphetamine bernilai RM25.5 juta di Wang Kelian dan Kaki Bukit, antara 24 hingga 28 Mac lalu.
“Usaha berterusan seperti ini amat penting dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara,” titah Baginda.
Baginda turut mengingatkan masyarakat agar tidak mengambil ringan tanggungjawab melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa, sebagai langkah bersama menjadikan Perlis negeri yang paling selamat untuk didiami.
Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan berangkat mengetuai Program Kayuhan Berbasikal sempena Sambutan Hari Polis ke-219 anjuran PDRM Kontinjen Perlis yang berlangsung di sekitar Utan Aji, dekat sini.
Turut berangkat sama ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Program tersebut diurusetiakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau dan diselaraskan bersama inisiatif MAIPs Peduli oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Polis Perlis, DCP Datuk Muhammad Abdul Halim, Timbalan Ketua Polis Perlis yang baharu, SAC Zaihairul Idrus serta barisan pegawai kanan PDRM negeri.
Dalam program sama, Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan daripada MAIPs dan PDRM kepada beberapa penerima, termasuk Mahani Mat, 53, dan Haron Nayan, 81, dari Kampung Sentua Utan Aji, serta Ismail Matt Isa, 64, dari Kampung Alor Marus.
Baginda juga berkenan bercemar duli menyantuni pesara PDRM, DSP (B) Ishak Baharun, 73, di kediamannya di Utan Aji, yang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Arau.
Majlis diakhiri dengan jamuan santapan, ucapan aluan oleh Ketua Polis Perlis serta sesi tazkirah yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia