Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa keamanan wajar dihargai dan dipelihara sebagai asas utama kesejahteraan ummah serta kestabilan negara.
Bersempena Sambutan Hari Polis ke-219, Baginda menyeru seluruh masyarakat, khususnya di Negeri Perlis, agar menginsafi bahawa keamanan merupakan nikmat terbesar dalam kehidupan.
Baginda turut menegaskan bahawa bagi memastikan keupayaan pasukan keselamatan kekal teguh dan berterusan, setiap anggota polis perlu dilengkapi dengan latihan, kemahiran, serta peralatan yang mencukupi agar sentiasa bersedia menghadapi pelbagai bentuk ancaman keselamatan yang semakin kompleks.
KEJAYAAN PIHAK PDRM
Pada kesempatan yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra mengucapkan tahniah di atas kejayaan pihak PDRM yang telah berjaya merampas 510 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine bernilai RM25.5 juta di Wang Kelian dan Kaki Bukit, antara 24 hingga 28 Mac baru-baru ini.
Baginda mengulangi harapan agar masyarakat awam di Perlis terus mengambil sikap bertanggungjawab dengan tanpa berlengah-lengah melaporkan kepada pihak berkuasa sebarang aktiviti yang mencurigakan berlaku di kawasan masing-masing. Hanya dengan cara ini Perlis boleh menjadi negeri yang paling selamat untuk didiami oleh rakyatnya.
Demikian titah Tuanku Raja Muda selepas berkenan berangkat mengetuai Program Kayuhan Berbasikal sempena Sambutan Hari Polis ke-219 anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perlis yang diadakan di sekitar Utan Aji dekat Kangar.
Turut berangkat sama ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
PROGRAM MAIPs PEDULI
Aktiviti edisi kali ini diurusetiakan oleh Ibupejabat Polis Daerah Arau dan disekalikan dengan program MAIPs Peduli bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim, Timbalan Ketua Polis Perlis yang baharu, Senior Asisten Komisioner Zaihairul Idrus serta para pegawai kanan PDRM Perlis.
Sempena program tersebut juga, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyampaikan sumbangan daripada MAIPs dan juga PDRM kepada beberapa penerima termasuk Mahani Mat, 53, dan Haron Nayan, 81, dari Kampung Sentua Utan Aji, serta Ismail Matt Isa, 64, dari Kampung Alor Marus.
Selain itu, Baginda juga berkenan singgah menyantuni pesara PDRM, Deputi Superitendan (B) Ishak Baharun, 73, di kediaman beliau di Utan Aji, yang mana jawatan terakhirnya ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Arau pada suatu ketika dahulu.
Majlis diakhiri dengan jamuan santapan serta ucapan aluan daripada Ketua Polis Perlis dan juga sesi tazkirah yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia