Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
6 OGOS 2025
Peranan keluarga amat penting dalam menerapkan nilai-nilai adat dan adab dalam kehidupan seharian.
Ibu bapa perlu menjadi contoh dan mendidik anak-anak dengan penghayatan adat istiadat dan peradaban sejak kecil.
Dengan sokongan institusi kekeluargaan yang kukuh, adat dan budaya serta peradaban kita akan dapat terus dipelihara dan diwarisi dengan baik oleh generasi seterusnya.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan Program Hijrah Minda anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di Masjid Al-Ariffin, Padang Katong, Kangar baru-baru ini.
Keberangkatan tiba Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta anakanda, WarisNya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, dan disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
AGIHAN ZAKAT MAIPs
Dalam majlis yang sarat dengan pengisian bermakna itu, Baginda berdua turut berkenan menyempurnakan agihan zakat MAIPs kepada 30 orang asnaf terpilih yang merupakan anak kariah Padang Katong.
Setiap penerima menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM700, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan pada majlis tersebut mencecah RM21,000.
Program ini mencerminkan komitmen tinggi MAIPs di bawah kepimpinan Tuanku Raja Muda Perlis dalam menyantuni umar, memperkukuh nilai-nilai murni, dan memelihara kesejahteraan ummah.
Ia juga menjadi manifestasi usaha berterusan dalam memperkasakan komuniti melalui pendekatan berjiwa rakyat yang berteraskan keprihatinan dan kasih sayang. – JM