Komuniti OKU Perlis diperkasa melalui Program Cahaya Harapan

Oleh: Sholina Osman
3 OKT. 2025

Komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) di Negeri Perlis terus diperkasakan melalui inisiatif inklusif iaitu Program Cahaya Harapan dalam bidang pertanian moden yang membuka ruang kepada golongan istimewa ini untuk berdikari, sekali gus menjadi model pemerkasaan menyeluruh dan mampan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Cahaya Harapan: Pemerkasaan Ekonomi Belia Autisme Melalui Terapi Hijau yang berlangsung di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Pauh, Jalan Pauh, Kampung Guring, Arau.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengerusi Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Anak Istimewa Perlis (PPDK-AnIPs), Dr. Nazmin Abdullah.

Program Cahaya Harapan mengetengahkan kemahiran pertanian hijau serta penggunaan tenaga solar. Usaha ini bukan sahaja mengurangkan kos elektrik, malah membuka peluang menjana pendapatan bagi golongan belia autisme kefungsian rendah.

BERSAMA RAKAN STRATEGIK

Inisiatif ini dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan WIBA PRIMA bersama rakan strategik iaitu Green Experts, Techfarm Xperts, Yayasan Bank Rakyat dan PPDK-AnIPs.

Dr. Nazmin menyembah maklum kepada Tuanku Raja Muda bahawa inisiatif ini memberi peluang kepada golongan OKU menguasai kemahiran moden, khususnya dalam bidang pertanian. Kemahiran tersebut bukan sahaja meningkatkan taraf hidup mereka, malah berpotensi menjadi sumber pendapatan berterusan.

Aspek kelestarian turut diberi keutamaan melalui penerapan teknologi tenaga hijau berasaskan solar dalam aktiviti pertanian.

Langkah ini bukan sahaja mengurangkan kos operasi, tetapi juga mendidik komuniti istimewa agar lebih celik terhadap teknologi hijau serta kepentingan menjaga alam sekitar.

SEBAGAI NEGERI PERINTIS

“Lebih membanggakan, Perlis muncul sebagai negeri perintis di Malaysia yang melaksanakan pendekatan sebegini,” kata beliau.

Ini membuktikan bahawa pemerkasaan OKU bukan sekadar tanggungjawab sosial, tetapi merupakan aset penting dalam menjayakan agenda pembangunan negeri dan negara,” tambah beliau.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian Laman Hijau dan menyaksikan demonstrasi penggunaan tenaga solar dalam proses pertanian. – JM

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.