KANGAR, 4 Dis — Latihan Dual Nasional (SLDN) McDonald’s bukan hanya memberi pendidikan kepada belia malah membuka peluang pekerjaan kepada golongan ini dan keluarga asnaf di negeri ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah baginda menyambut baik dan menggalakkan belia di negeri ini menyertai program SLDN yang memberi pendidikan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada kedua-dua golongan itu.
“Pelajar yang menyertai program ini akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dan Tahap 4 seterusnya layak memulakan kerjaya di McDonald’s atau kerjaya dalam bidang perkhidmatan makanan,” titah baginda pada program Komuniti McDonald’s Malaysia Peringkat Negeri Perlis di sini malam tadi.
Baginda bertitah, program itu pastinya membolehkan peserta meningkatkan ekonomi keluarga masing-masing.
“Beta harap lebih ramai anak golongan asnaf tampil ke depan menyertai program ini selepas ini,” baginda bertitah.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata SLDN McDonald’s seramai 650 pelatih seluruh negara sedang menyertai program itu dan mereka menerima elaun sara hidup bulanan sebanyak RM1,200, faedah perubatan, insurans dan makanan percuma.
“Kami mengalu-alukan para belia di negeri ini untuk menyertai program latihan kami dan berharap belia yang terpilih dapat mempelajari kemahiran yang diperlukan dan seterusnya dapat meningkatan status ekonomi keluarga masing-masing,” katanya.
Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM101,000 daripada McDonald’s Malaysia.
Pada majlis sama, McDonald’s Malaysia turut menyampaikan sumbangan RM507,500 khusus untuk negeri ini bagi meringankan beban golongan kurang bernasib baik antaranya zakat perniagaan, pelantikan belia bagi menyertai SLDN McDonald’s dan penyerahan pek ‘Kembali Ke Sekolah’.
Tarikh kemaskini: 5/2/2025