KIGALI, Rwanda: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melakar satu lagi sejarah penting dalam memperkukuh jaringan antarabangsa apabila menjalin hubungan strategik bersama Rwanda Muslim Community (RMC) melalui satu sesi libat urus bersejarah di Ibu Negara Rwanda, Kigali kelmarin.
Delegasi berkenaan diketuai oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ke negara Afrika Timur itu dengan baginda turut diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Keberangkatan Baginda disambut mesra oleh Mufti Besar Rwanda, Sheikh Musa Sindayigaya yang mengetuai RMC, sebuah pertubuhan Islam yang diiktiraf Kerajaan Rwanda sejak tahun 1964 sebagai suara rasmi umat Islam di negara berkenaan.
Delegasi MAIPs juga disertai oleh Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin, dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Ustaz Mohd Nazim Mohd Noor.
Sesi libat urus ini memberi tumpuan khusus kepada usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan Islam, dengan fokus terhadap pertukaran kepakaran serta pembangunan institusi pendidikan yang progresif dan inklusif.
Antara yang dibincangkan ialah pelaksanaan program pengajian tinggi dan kursus dalam talian secara bersama melalui Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), sebuah institusi di bawah naungan penuh MAIPs.
Turut menjadi agenda penting ialah potensi pemindahan modul pendidikan Islam Malaysia, jaringan kerjasama para sarjana, dan program pertukaran akademik antara kedua-dua negara.
RMC menyuarakan komitmen tinggi serta harapan agar kerjasama ini menjadi pemangkin dalam mempertingkatkan mutu pendidikan Islam di Rwanda sejajar dengan kemajuan pesat negara itu dalam pelbagai sektor pembangunan.
Sebagai kemuncak sesi, satu Majlis Penyerahan Surat Hasrat Kerjasama (LoI) telah berlangsung antara Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs dan Mufti Rwanda yang mewakili RMC, disaksikan oleh Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis.
Penyerahan ini menjadi simbol permulaan hubungan rasmi serta hala tuju strategik antara kedua-dua institusi Islam.
Dalam ucapan penutupnya, Mufti Perlis menyatakan keyakinan bahawa kolaborasi ini akan membawa impak besar terhadap usaha memperkasa pendidikan Islam di peringkat serantau dan global.
“Adalah menjadi harapan MAIPs agar hasrat kerjasama ini dapat diterjemah dalam bentuk tindakan berimpak tinggi pada masa akan datang.
“Antaranya melalui pelaksanaan program bersama antara para sarjana Islam di Benua Afrika bersama jaringan MAIPs di Nusantara, demi memartabatkan pendidikan Islam serta mengukuhkan semangat ukhuwah Islamiah antara dua negara bersaudara ini,” ujar beliau.
Lawatan ini sekali gus mencerminkan komitmen berterusan MAIPs dalam memperkukuh pembangunan ummah sejagat serta memperluas peranan Malaysia sebagai rakan strategik dalam pendidikan Islam di peringkat global. – HARAKAHDAILY 23/7/2025