MAIPs Perlu Terus Berani Berinovasi dan Dekat dengan Rakyat — Raja Muda Perlis

MAIPs Perlu Terus Berani Berinovasi dan Dekat dengan Rakyat — Raja Muda Perlis

KANGAR, 15 Januari 2026 — Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) diseru agar terus berani mengemudi inovasi, kekal cekap dalam penyampaian perkhidmatan serta sentiasa dekat dengan denyut nadi rakyat yang memerlukan.

Titah tersebut disampaikan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis, ketika Baginda berkenan berangkat mempengerusikan Persidangan Majlis MAIPs yang buat julung kalinya diadakan di Bilik Mesyuarat Kompleks Baharu MAIPs, Jalan Pegawai, Kangar, yang masih dalam fasa pembinaan.

Menurut Baginda, MAIPs diyakini akan menilai secara menyeluruh pencapaian sedia ada dan seterusnya menetapkan hala tuju baharu bagi tahun 2026, selaras dengan Pelan Strategik Bersasar MAIPs 2026–2030. Segala keputusan, perbincangan dan penelitian yang dipersetujui dalam persidangan tersebut hendaklah diterjemahkan dengan penuh tanggungjawab, berteraskan integriti serta berpaksikan kemaslahatan ummah.

Dalam titah yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan penghargaan atas usaha gigih semua pihak yang telah memperkukuh kedudukan MAIPs sehingga ke tahap hari ini. Kejayaan dalam pengurusan zakat, pelaksanaan program kebajikan, pemantapan sistem pentadbiran serta perluasan jaringan strategik disifatkan sebagai bukti bahawa MAIPs terus bergerak ke hadapan dengan visi yang jelas dan tindakan yang tersusun.

Baginda turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pembayar zakat yang menunaikan tanggungjawab mereka melalui MAIPs, sambil berharap agar segala pencapaian yang diraih dapat diteruskan dan dipertingkatkan pada tahun-tahun mendatang demi kesejahteraan masyarakat Islam di negeri Perlis.

Terdahulu, Tuanku Raja Muda selaku Yang Dipertua MAIPs bersama ahli-ahli Majlis turut meluangkan masa meninjau tapak Projek Pembinaan Kompleks Pentadbiran Baharu MAIPs di bandar Kangar, yang disasarkan siap sepenuhnya pada tahun ini.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.