KUALA PERLIS, 2 Disember 2026 — Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyalurkan Sumbangan Mat’am Fidyah berjumlah RM10,000 kepada Persatuan Al-Islah Perlis, selain sumbangan Susu Formula dan Lampin Pakai Buang bernilai RM20,000 kepada persatuan sama, sebagai manifestasi keprihatinan MAIPs terhadap kebajikan golongan memerlukan, khususnya melibatkan penjagaan ibu dan kanak-kanak.
Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Perlis, berkenan menyerahkan sumbangan tersebut kepada Yang Dipertua Persatuan Al-Islah Perlis, Dr. Muhammad Ihsan Idris, ketika berkenan berangkat menyempurnakan Program Hijrah Minda anjuran MAIPs yang berlangsung di Masjid Terapung Al-Hussain, Kuala Perlis.
Mengiringi keberangkatan Baginda ialah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis yang juga Yang Dipertua MAIPs, serta Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Menyambut keberangkatan Baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor, yang memaklumkan bahawa inisiatif sumbangan berkenaan bertujuan memastikan agihan fidyah dan bantuan kebajikan dapat dimanfaatkan secara berkesan oleh golongan sasar, khususnya bagi menyokong keperluan asas, kesihatan dan kebajikan keluarga yang memerlukan.
Menurut beliau, pelaksanaan sumbangan seumpama ini turut mencerminkan komitmen MAIPs untuk terus memperkukuh sinergi bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakan strategik dalam memperluas jaringan kebajikan, sekali gus memastikan setiap amanah zakat dan fidyah disalurkan secara berimpak serta berteraskan maqasid syariah.
“MAIPs sentiasa berusaha memastikan agihan sumbangan dapat diperluaskan kepada golongan yang memerlukan melalui pendekatan berasaskan keperluan sebenar (needs-based), di samping mengutamakan ketelusan, keberkesanan dan impak jangka panjang kepada kesejahteraan ummah,” jelas Mohd Nazim.
Untuk rekod, MAIPs memulakan pembukaan akaun bagi tahun kewangan 2026 pada hari ini selepas melaksanakan Mesyuarat Jawatankuasa Pemeriksa Kira-Kira Majlis bagi Kewangan Berakhir 31 Disember 2025, yang dipengerusikan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Maizura Shamsuddin.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia