ARAU, 8 Mei 2020 – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan RM8.31 juta untuk membantu 28 institusi pendidikan Islam termasuk sekolah agama (maahad) di seluruh negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata peruntukan tersebut diberikan di bawah program ‘Asnaf Fi-Sabilillah’ dan peruntukan tersebut meningkat berbanding tahun lepas sebanyak RM8 juta.
“Diharapkan peruntukan yang disumbangkan ini berupaya membantu pihak sekolah menambah baik bangunan dan operasi mereka dalam melahirkan generasi yang cemerlang di dunia dan akhirat,” katanya kepada media selepas majlis Simbolik Sumbangan Peruntukan Tahunan Institusi Pendidikan Islam Negeri Perlis Tahun 2020 oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs di sini, hari ini.
Turut hadir, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Ir. Ts. Dr R. Badlishah Ahmad.
Mohd Nazim berkata sebahagian peruntukan tersebut iaitu sebanyak RM3 juta diserahkan kepada Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seperti UniMAP dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Perlis.
Tarikh kemaskini: 4/24/2025