KANGAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM1.02 juta untuk bantuan kecemasan khas masjid MAIPs bagi membantu meringankan beban golongan memerlukan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, tambahan sumbangan tersebut dibuat selepas kerajaan melanjutkan tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 Jun ini.
Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, sumbangan berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif berjumlah RM7.2 juta yang diperuntukkan MAIPs seperti yang diperkenankan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail baru-baru ini.
Titah baginda, sumbangan itu diagihkan kepada golongan asnaf melalui masjid-masjid di seluruh negeri.
“Bantuan tersebut adalah dikhususkan untuk mereka yang terjejas dengan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh, namun tidak disenaraikan dalam Bantuan Khas Rangsangan Asnaf sebanyak RM5.45 juta seperti diumumkan MAIPs pada 11 Jun lalu.
“Bantuan ini disasarkan kepada lebih 5,000 orang penerima dengan jumlah sumbangan sebanyak RM200 sebagai bantuan segera untuk keperluan mendesak golongan asnaf yang terjejas,” titah baginda di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor berkata, syarat penerima bantuan itu adalah mereka yang benar-benar terjejas dan terdesak kerana tidak ada sumber pendapatan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.
“Kaedah penyaluran bantuan berkenaan adalah melalui pengagihan yang akan dilaksanakan oleh amil atau ahli jawatankuasa kariah masjid di seluruh negeri ini,” katanya.
Tarikh kemaskini: 4/22/2025