KUALA LUMPUR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sukacita penganjuran Majlis Malam Perlis 2025 yang bukan sekadar pertemuan tahunan, tetapi menjadi wadah penting untuk anak-anak Perlis di perantauan.
– Advertisement –
Baginda bertitah, majlis ini dapat mempererat hubungan kekeluargaan, mengukuhkan jati diri dan menzahirkan kecintaan terhadap negeri kelahiran masing-masing.
Menurut baginda, tema ‘Inilah Perlis’ amat bertepatan dan penuh makna kerana ia mencerminkan identiti negeri Perlis serta mengangkat martabat negeri di persada nasional dengan menonjolkan keindahan budaya, adat dan warisan yang menjadi kebanggaan bersama.
“Beta berharap agar usaha murni sebegini dapat melahirkan generasi anak Perlis yang berilmu, berdaya saing, berpandangan jauh dan tetap menghargai akar budaya sendiri.
“Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) diseru agar terus menjadi pemangkin dalam memperkasa kualiti diri, memperluas peluang serta menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara,” titah Baginda.
Titah itu dizahirkan sempena Majlis Malam Perlis 2025 yang berlangsung penuh meriah di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini Sabtu lalu.
Keberangkatan tiba Tuanku Raja Perlis disambut oleh Yang Dipertua PPKL, Datuk Md Silmi Abd Rahman, bersama kepimpinan tertinggi persatuan.
Turut berangkat mengiringi baginda ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Juga turut disertai anakanda-anakanda puteri baginda berdua, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Majlis anjuran PPKL yang kini mempunyai 1,440 ahli itu turut menyaksikan penyampaian anugerah berprestij kepada tokoh-tokoh anak Perlis yang berjaya di peringkat nasional.
Baginda berkenan menyempurnakan Pengurniaan Anugerah Tokoh PPKL kepada tokoh korporat ternama yang pernah memimpin Renong dan UEM Group, Tan Sri Datuk Seri Halim Saad.
Juga, Tokoh Usahawan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis kepada Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding, Bryan Loo, kedua-dua penerima anugerah adalah anak jati Perlis yang telah mengharumkan nama negeri.
Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan melancarkan Coffee Table Book (CTB) Sempena 38 Tahun Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis dalam majlis tersebut.
Majlis ini menyemarak semangat perpaduan dan kebersamaan warga Perlis di rantauan, yang bukan sahaja memperkukuh hubungan kekeluargaan, tetapi juga memperluas jaringan kerjasama antara profesional, usahawan dan masyarakat.
Baginda menzahirkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan serta ahli PPKL atas dedikasi dan komitmen mereka dalam menjayakan majlis tersebut.
Baginda turut menyatakan harapan agar PPKL terus kekal relevan, unggul dan istiqamah dalam melaksanakan agenda kebajikan serta pembangunan insan. – HARAKAHDAILY 13/10/2025