Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar masyarakat memanfaatkan ruang dan tanah yang ada di sekeliling kediaman masing-masing dengan ‘tanaman ikhtiar hidup’ atau ‘basic agriculture’.
Titah baginda, ruang tanah atau halaman rumah boleh diusahakan dengan tanaman asas untuk kegunaan sendiri seperti sayur-sayuran, tanaman herba dan buah-buahan.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menghadiri program MAIPs Peduli kali ke 71 bagi tahun 2020 anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Perlis yang bermula dan berakhir di Dataran Perhimpunan Sekolah Agama Al-Islahiyah (Menengah) Behor Mali, Simpang Empat, Perlis baru-baru ini.
Hadir sama mengiringi baginda ialah Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Hafizuddin Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.
Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra, MAIPs melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM), sedang melihat inisiatif yang boleh dilaksanakan dalam menerapkan budaya amalan pertanian ikhtiar hidup di kalangan warga asnaf di negeri Perlis sekaligus dapat mempertingkatkan produktiviti masyarakat.
Tarikh kemaskini: 3/7/2025