“Alhamdulillah, syukur pihak MAIPs sudi membantu menghulurkan bantuan meringankan beban kami sekeluarga membaiki bumbung yang diterbangkan ribut,” kata mangsa di Beseri Perlis, Hafizi Ahmad, 40.
Beliau berkata, pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah mengambil langkah pantas apabila terus ‘turun padang’ mengadakan lawatan pada malam tadi, sejurus kejadian itu dilaporkan kepada pihak pemimpin masyarakat dan masjid berdekatan.
Tambah istimewa lagi, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, turut berkenan berangkat singgah menyampaikan sumbangan MAIPs berjumlah RM 1,000 pada petang tadi.
Baginda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selepas menghadiri satu majlis anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tidak jauh dari lokasi berkenaan berkenan meluangkan masa meninjau sekitar kediaman mangsa yang terjejas dalam kejadian ribut tropika yang berlaku pada kira-kira jam 6.30 petang semalam mengakibatkan kerosakan 10 buah rumah di sekitar kawasan Beseri, Kangar dan Pauh.
Tarikh kemaskini: 4/24/2025