angar 5 Jan – Majlis Amanah Rakyat (MARA) Negeri Perlis telah menerima peruntukan berjumlah RM17,322,905 bagi pelaksanaan Program Pembangunan MARA Negeri Perlis untuk tahun 2026 ini, yang bertujuan memperkasa ekosistem keusahawanan Bumiputera di negeri ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan simbolik penyerahan peruntukan tersebut oleh Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman kepada Pengarah MARA Negeri Perlis, Mohd Azam Jamaluddin, dalam satu Majlis Santapan Malam sempena Program Konvoi Gemilang 60 Tahun MARA yang berlangsung di Arked MARA Kangar.
Keberangkatan tiba Baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta anakanda puteri kedua Baginda berdua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah MARA, Zahari Aziz, bersama barisan pengurusan tertinggi Ibu Pejabat MARA dan MARA Negeri Perlis serta ketua-ketua jabatan serta agensi negeri Perlis..
Program Pembangunan MARA Negeri Perlis memberi penekanan kepada pengukuhan keupayaan usahawan Bumiputera menerusi pelbagai inisiatif strategik merangkumi bidang digital, teknikal dan runcit, selaras dengan keperluan pasaran semasa.
Antara program utama yang dilaksanakan termasuk Program BizStart, latihan pendigitalan perniagaan, serta pembangunan vendor industri, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik.
Pelaksanaan inisiatif ini diharap dapat memastikan usahawan Bumiputera di Perlis terus berdaya saing, mampan dan berupaya berkembang, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dalam menghadapi landskap ekonomi yang semakin mencabar.
Majlis tersebut turut meraikan perpisahan Mohd Azam yang berkhidmat di Perlis dari 4 April 2022 hinga 13 Februari 2026. Beliau akan berpindah keluar atas sebab kenaikan pangkat untuk memegang tanggungjawab baru sebagai Pengarah Bahagian Pembiayaan Perniagaan, di Ibu Pejabat MARA Kuala Lumpur berkuatkuasa 16 Februari 2026.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia