Beseri, 10 September 2025 – Ma’had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI) kini melakar sejarah tersendiri apabila secara rasmi dinaiktaraf sebagai Sekolah Agama Seliaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), dengan sokongan peruntukan khas berjumlah RM20 juta bagi tempoh lima tahun bermula 2026 hingga 2030.
Pelancaran pemasyhuran ini disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs, susulan keputusan Persidangan MAIPs Bilangan Keempat Tahun 2025. Majlis diadakan bersempena Program Titian Kasih Mega anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, yang turut menyaksikan penyerahan replika cek cura kepada Pengetua MATRI, Hajah Nasitah Ibrahim, serta Pengerusi Lembaga Pengelola MATRI.
Pusat Tarbiyah Islami Sejak 1987
Ditubuhkan pada tahun 1987, MATRI telah melahirkan ribuan alumni yang kini berkhidmat di seluruh dunia. Pada masa ini, sekolah itu menempatkan 243 pelajar, termasuk 27 pelajar antarabangsa dari negara seperti Thailand, Singapura, Indonesia, Mesir, Yaman, Kemboja, Palestin dan Afrika Selatan.
Kejayaan akademik MATRI terbukti apabila 90% calon SPM 2024 berjaya melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi. Selain itu, kecemerlangan kokurikulum turut terserlah melalui penyertaan pasukan bola tampar ke peringkat kebangsaan, di samping sukan badminton, bola sepak dan memanah.
Keunikan MATRI adalah pendekatan tarbiyah Islami yang menyeimbangkan akademik, sahsiah, dan kerohanian. Antara amalan yang diterapkan termasuk solat berjemaah di awal waktu, tadabbur al-Quran, usrah, kuliah mingguan, serta program mentor-mentee.
Peruntukan Perkukuh Kualiti Pendidikan
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor, dalam sembah ucapan menjelaskan bahawa peruntukan RM20 juta itu akan digunakan untuk memperkukuh prasarana, meningkatkan kualiti pendidikan dan sahsiah pelajar, serta menarik lebih ramai kemasukan.
“Naiktaraf MATRI ini selaras dengan dasar MAIPs sebagai peneraju hal ehwal Islam di negeri Perlis, demi melahirkan insan rabbani yang mampu menyumbang kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.
Titah Raja Muda
Dalam titah perasmian, Tuanku Raja Muda menzahirkan penghargaan kepada MAIPs dan pengurusan MATRI, serta menegaskan bahawa pendidikan berasaskan tarbiyah syumul amat penting untuk membina generasi berilmu, berakhlak mulia, dan berdaya tahan menghadapi cabaran semasa.
“Dengan limpah rahmat Allah SWT, semoga MATRI terus berkembang sebagai pusat tarbiyah dan pendidikan unggul, selaras dengan hasrat negeri untuk menjadi peneraju dalam melahirkan insan yang cemerlang dunia dan akhirat,” titah baginda.
Perasmian Bilik S.O.L.E.H.
Majlis turut menyaksikan perasmian Bilik S.O.L.E.H., ruang aktiviti pelajar yang menjadi medan memperkukuh kepimpinan, kerohanian, serta bakat dalam pelbagai bidang. Antara tarikan bilik ini termasuk:
Sudut Sukan – pameran enam sukan teras, jersi rasmi dan koleksi anugerah.
Sudut Robotik & Inovasi – aplikasi teknologi terkini termasuk AI, teknologi 3D, dan demonstrasi penghasilan keychain.
Sudut Kebudayaan – instrumen nasyid serta pameran khas perjuangan Palestin.
Dengan naiktaraf ini, MATRI kini menjadi sekolah agama pertama secara rasmi berada di bawah seliaan MAIPs melalui Bahagian Pendidikan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).
Tarikh kemaskini: 9/12/2025