Oleh: Sholina Osman
16 OKT. 2025
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, berkenan berangkat menerima sembah mengadap hormat oleh Pegawai Kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Leftenan Jeneral Datuk Johnny Lim Eng Seng yang berlangsung di Istana Perlis, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Turut berangkat ialah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Johnny Lim merupakan seorang pegawai dalam Rejimen Renjer DiRaja di bawah naungan Tuanku Raja Perlis sebagai Kolonel Yang DiPertua RRD telah mencipta sejarah Angkatan Tentera Malaysia pada 23 Jun 2025 baru-baru ini.
Beliau dinaikkan pangkat daripada Mejar Jeneral kepada Leftenan Jeneral, sekali gus menjadi pegawai kanan berbangsa Cina pertama yang mencapai pangkat tertinggi tersebut dalam ATM.
MEMPUNYAI PENGALAMAN LUAS
Anak kelahiran Melaka ini mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan ketenteraan dan pernah menyandang beberapa jawatan penting termasuk Panglima Briged, Inspektor Jeneral Tentera Darat, serta Ketua Staf Markas Pemerintahan Medan Barat.
Kecemerlangan dan dedikasi beliau dalam perkhidmatan mencerminkan semangat kepimpinan yang tinggi serta komitmen terhadap keselamatan dan kedaulatan negara.
Sebagaimana Tuanku Raja Perlis, Johnny Lim juga merupakan lulusan daripada Royal Military Academy Sandhurst (RMAS) di United Kingdom. – JM