Peka maklumat terkini hanya melalui hebahan rasmi agensi berkaitan

Peka maklumat terkini hanya melalui hebahan rasmi agensi berkaitan

Oleh: Sholina Osman
7 DIS. 2025

Orang awam diingatkan supaya sentiasa peka dengan maklumat terkini melalui hebahan rasmi agensi-agensi berkaitan.

Jika terdapat sebarang keraguan terhadap berita atau hantaran di media sosial, orangramai digalakkan untuk menghubungi agensi yang berautoriti bagi mendapatkan pengesahan.

Demikian dipersembahkan oleh Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Perlis, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud, kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dalam satu sesi pertemuan Baginda bersama penduduk setempat di Masjid Nurul Husna, Wang Kelian, Kaki Bukit.

Turut mengiringi Baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

MERUPAKAN LOKASI PERTAMA

Kampung Wang Kelian merupakan lokasi pertama di Perlis yang dilanda banjir pada 23 November 2025 lalu.

Susulan kejadian tersebut, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pertama yang diaktifkan ialah PPS Masjid Nurul Husna setelah diperkenankan oleh Tuanku Raja Muda Perlis merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Pada hari yang sama, berlaku juga kejadian runtuhan jalan yang menyebabkan laluan antara Wang Kelian dan View Point terputus, sekali gus menjejaskan pergerakan penduduk serta pelancong.

Mangsa-mangsa dalam kalangan masyarakat setempat telah dipindahkan ke PPS tersebut.

MELALUI PINTU SEMPADAN

Pada masa yang sama, pelancong dari Malaysia yang pulang melalui pintu sempadan Wang Kelian turut terkandas dan ditempatkan sementara di lokasi sama.

Bagi mengurangkan kesesakan di PPS, usaha mengeluarkan pelancong dilaksanakan dengan segera, manakala penghantaran makanan dijalankan menggunakan kaedah ‘point to point’ di bawah pemantauan rapi Jabatan Kerja Raya (JKR).

JKR kini sedang melaksanakan penyelidikan terperinci serta kerja-kerja pembaikan jalan dan cerun yang dijangka mengambil masa antara 6 hingga 12 bulan.

Kini laluan ke Wang Kelian hanya dibuka kepada penduduk setempat, kenderaan kecemasan dan pasukan yang terlibat dalam operasi pembaikan.

SUMBANGAN AGIHAN ZAKAT

Pada pertemuan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan agihan zakat MAIPs berjumlah RM21,000 kepada 30 orang terpilih, masing-masing menerima RM700, terdiri daripada golongan asnaf anak kariah Wang Kelian.

Turut Baginda serahkan ialah simbolik RM6,600 Sumbangan Dapur Cakna MAIPs untuk PPS Wang Kelian.

Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas itu berkenan berangkat meninjau Masjid Al Mubarak Tasoh yang teruk dilanda banjur baru-baru ini serta beberapa buah rumah di sekitarnya. – JM

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.