Arau, 5 September 2025
Rakyat Perlis mesti merasai nikmat pembangunan yang benar-benar memberi makna kepada kehidupan seharian mereka. Itulah intipati titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang mengingatkan bahawa pelaburan dalam bidang pendidikan, kesihatan, perumahan serta kemudahan awam tidak boleh sesekali dipandang ringan.
Prasarana-prasarana inilah, titah baginda, yang menjadi nadi kepada kesejahteraan rakyat. Jika ia dirancang dengan baik dan direalisasikan secara tersusun, maka lahirlah modal insan berkualiti serta sebuah masyarakat yang hidup dalam persekitaran lebih seimbang dan lestari.
Titah berwawasan itu disampaikan ketika baginda berkenan menyempurnakan Program Hijrah Minda MAIPs di Masjid Al-Falah, Behor Mempelam, Arau.
Lebih jauh, Tuanku Raja Muda turut mengingatkan bahawa tadbir urus mesti sentiasa telus, bebas daripada rasuah dan berpaksikan nilai integriti. Hanya dengan itu, pembangunan negeri ini benar-benar memberi manfaat menyeluruh, tanpa terikat dengan sempitnya kerangka pemikiran.
Bersempena program tersebut, baginda berkenan mengurniakan sumbangan agihan zakat MAIPs sebanyak RM700 setiap seorang kepada 30 asnaf, menjadikan keseluruhan berjumlah RM21,000.
Inilah wajah Perlis MADANI yang diidamkan – negeri kecil yang tidak pernah lelah membela rakyat, dengan kepimpinan yang terus mengangkat integriti sebagai paksi utama.