9 Oktober 2025 | Kuala Perlis
Golongan pelajar yang memilih laluan kemahiran atau Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan jurubina masa depan negara yang bukan sahaja memiliki kemahiran praktikal, malah berjiwa kreatif dan tahan lasak.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah bahawa dalam dunia pekerjaan hari ini, permintaan terhadap kemahiran teknologi — khususnya dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), automasi dan analisis data — semakin meningkat dengan pantas.
“Industri tidak lagi hanya mencari sijil atau pointer yang tinggi, tetapi insan yang mampu menyelesaikan masalah, menguasai teknologi dan mencipta nilai,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan mengetuai program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang diadakan di sekitar Kuala Perlis.
Inisiatif MAIPs dan FCoEE dorong pendidikan inklusif AI & digital
Tuanku Raja Muda turut menzahirkan penghargaan kepada Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) yang bernaung di bawah MAIPs kerana berusaha mencari pendekatan strategik dan inklusif dalam memperluas manfaat ilmu digital dan AI kepada anak-anak Perlis yang menuntut di politeknik serta institusi TVET di seluruh Semenanjung — meliputi zon Utara, Tengah dan Timur Malaysia.
Kayuhan amal yang diketuai sendiri oleh baginda selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs itu menjadi antara inisiatif berterusan MAIPs dalam mendekati masyarakat melalui gabungan aktiviti berbasikal dan program kebajikan.
Tiga asnaf terpilih terima sumbangan zakat MAIPs
Sempena kayuhan tersebut, Tuanku Raja Muda berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs kepada tiga orang asnaf terpilih iaitu Husni Husin (58), Meriam Taib (65) dan Hamdan Ahmad (57), kesemuanya dari Kampung Padang Besar Selatan, Kuala Perlis.
Setiap penerima menerima bantuan tunai sebanyak RM700, selain kit MAIPs Peduli dan beras fidyah bagi meringankan beban harian mereka.
Empayar Chendana Gazebo angkat seni pertukangan Melayu
Dalam kesempatan yang sama, baginda turut berkenan singgah melawat Empayar Chendana Gazebo, sebuah syarikat tempatan berpusat di Kuala Perlis yang semakin mendapat tempat di pasaran tempatan sebagai pengeluar gazebo dan chalet kayu berkonsepkan gabungan reka bentuk tradisional dan moden.
Syarikat ini diterajui oleh tukang berpengalaman yang menggunakan bahan kayu berkualiti termasuk kayu terpakai, menghasilkan binaan tahan lama serta mesra alam.
Kini, Empayar Chendana Gazebo menerima tempahan dari seluruh Semenanjung Malaysia dengan menawarkan reka bentuk fleksibel mengikut cita rasa pelanggan — termasuk chalet bersaiz 12×8 kaki dan 20×10 kaki yang sesuai untuk kegunaan kediaman dan sektor pelancongan.
Selain memperkukuh ekonomi tempatan, syarikat ini turut berperanan memelihara warisan seni pertukangan Melayu yang semakin mendapat perhatian generasi baharu.