Kangar – “Penduduk setempat perlu memainkan peranan yang amat besar dan bertanggungjawab untuk mencantikkan lagi tebing sungai masing-masing agar keindahan sungai tersebut akan membuatkan pihak lain berasa malu atau segan untuk mencemari sungai,” titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri sesi kayuhan anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersempena dengan sambutan Hari Tindakan Sungai Sedunia, petang semalam.
“Sebarang air sisa buangan, air basuhan dan air kumbahan perlu dirawat terlebih dahulu serta menggunakan sistem rawatan yang baik sebelum dialirkan ke sungai. Hal ini merupakan tanggungjawab yang amat besar oleh pihak berkuasa dalam memantau sebarang aktiviti yang tidak elok seperti membuang air sisa tertentu tanpa dirawat sehingga menyebabkan pencemaran tidak sihat terhadap sungai dan hidupan di dalam sungai.”
DYTM Tuanku Raja Muda Perlis juga menyampaikan agihan zakat MAIPs bernilai RM700 secara tunai, beras dan bekalan makanan mentah kepada tiga buah keluarga asnaf terpilih di sekitar Kampung Utan Aji. Para penerima yang disantuni terdiri daripada Anor Sabri Baharom, Ku Ragimi Ku Razali dan Md Basri Zakaria.
Baginda turut berkenan merasmikan projek memproses ayam yang diusahakan oleh asnaf Kefli Saidin. Beliau menerima peruntukan Inisiatif Peningkatan Sosioekonomi Asnaf berjumlah RM3600 daripada MAIPs melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) untuk membeli peralatan dan mesin memproses ayam bagi menjayakan perniagaannya.
Sementara itu, baginda turut berkenan meluangkan masa meninjau kerja pembinaan Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis (Bangunan SUK Baharu), Mukim, Seriab yang dijangka siap pada 12 Julai 2022 ini.
Tarikh kemaskini: 4/15/2025