Pemahaman Perlembagaan, Rukun Negara Asas Penyatuan Nasional – Raja Muda Perlis

Pemahaman Perlembagaan, Rukun Negara Asas Penyatuan Nasional – Raja Muda Perlis

AUH PUTRA, 7 Jan — Kecintaan terhadap tanah air serta kesetiaan yang tidak berbelah bahagi perlu disemai melalui pemahaman mendalam terhadap Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara bagi melahirkan rakyat yang berjati diri teguh, matang dalam bertoleransi serta bertanggungjawab terhadap masa depan negara.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan Program Sumbangan MAIPs Peduli di sekitar Kampung Ulu Pauh, Arau, hari ini.

Menurut baginda, setiap langkah yang diambil pada hari ini merupakan satu pelaburan berharga demi kesejahteraan generasi akan datang. Sehubungan itu, seluruh lapisan masyarakat serta kepimpinan negara perlu bersatu hati dalam menyuburkan keharmonian dan memperkukuh rasa kekitaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kita amat memerlukan satu strategi penyatuan nasional yang benar-benar mampu membina rasa kebersamaan yang jitu, di mana setiap rakyat berperanan aktif dalam membentuk masa depan Malaysia yang bersatu padu,” titah baginda.

Program MAIPs Peduli merupakan antara inisiatif zakat yang bersifat holistik dan inklusif di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), dengan pendekatan turun padang bagi menyantuni golongan asnaf secara langsung dan berkesan.

Program berkenaan diketuai sendiri oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang Dipertua MAIPs, sekali gus mencerminkan keprihatinan dan komitmen berterusan institusi zakat negeri dalam menjaga kebajikan umat Islam di Perlis.

Inisiatif tersebut bukan sekadar pemberian bantuan bersifat sementara, sebaliknya memberi penekanan kepada kelestarian kehidupan penerima di samping memastikan pengurusan serta agihan zakat dilaksanakan secara berhemah, berfokus dan berimpak tinggi.

Pada program berkenaan, baginda berkenan menyampaikan sumbangan kepada tiga asnaf terpilih iaitu Anizam Shaaban, 49, dari Kampung Ulu Pauh; Zainab @ Timah Saad, 86, dari Kampung Felcra Ulu Pauh; serta Yusof Shaari, 70, dari Kampung Padang Chempa Pauh.

Setiap penerima menerima bantuan wang tunai berjumlah RM700 selain Kit MAIPs Peduli yang mengandungi keperluan harian serta sumbangan beras fidyah bagi meringankan beban sara hidup.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.