Oleh: Sholina Osman
7 JAN. 2026
Pendekatan dalam dakwah perlu beradaptasi dengan perubahan zaman.
Dalam era moden yang penuh cabaran ini, para pendakwah dan ilmuwan Islam harus bijak memanfaatkan segala peluang yang ada bagi menyampaikan ilmu dan kesedaran kepada masyarakat.
Dakwah pada hari ini tidak lagi terbatas di meja kuliah atau di mimbar khutbah semata-mata.
Sebaliknya, ia perlu diperluaskan ke segenap ruang dan platform yang tersedia seperti media sosial, webinar, podcast, YouTube, dan pelbagai saluran digital yang lain.
MENGETUAI PROGRAM
MAIPs
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli, anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kangar yang bermula dan berakhir di pekarangan Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail Kangar.
Berangkat sama mengiring ialah anakanda Baginda, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Kayuhan yang berimpak sosial ini merupakan satu inisiatif kebajikan yang unik oleh MAIPs, menggabungkan aktiviti berbasikal dengan misi menyantuni golongan asnaf secara langsung di seluruh negeri Perlis.
MENCERMINKAN KEPRIHATINAN MAIPs
Pendekatan ini bukan sahaja mendekatkan bantuan kepada golongan memerlukan, malah mencerminkan keprihatinan MAIPs dalam memupuk semangat kemasyarakatan dan kesejahteraan ummah.
Antara objektif utama penganjuran program ini adalah untuk menziarahi kediaman golongan yang memerlukan bagi menyampaikan bantuan zakat serta sumbangan keperluan harian, di samping mempromosikan gaya hidup sihat melalui aktiviti berbasikal.
Program ini turut berperanan merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat serta menyampaikan mesej dakwah melalui perbuatan, teladan dan keprihatinan sosial secara langsung kepada masyarakat.
SUMBANGAN AGIHAN ZAKAT
Sempena kayuhan kali ini, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang Dipertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga orang penerima terpilih, iaitu Azemi Saad, 68 dari Jalan Santan, Marzani Mohd Zaki, 41 dari Kampung Tanjung Gorah, serta Latifah Ismail, 50 dari Kampung Repoh.
Setiap penerima menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM700, Kit MAIPs Peduli, beras fidyah serta beberapa keperluan asas lain bagi meringankan beban kehidupan seharian mereka.
Dalam pada itu, Tuanku Raja Muda turut berkenan meluangkan masa singgah di Mega Food Festival 17.0 yang berlangsung di Dataran Taman Sena, Kangar.
Tuanku Syed Faizuddin Putra sebelum itu berkenan mengunjungi AT Pickle, sebuah pengusaha sukan Pickleball yang bertempat di Simpang Tiga, Kangar.
Premis ini beroperasi setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah malam, dan sukan Pickleball kini semakin mendapat sambutan serta perhatian dalam kalangan umat negeri Perlis. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia