Laporan oleh Sholina Osman dari Medan, Indonesia
Pendidikan merupakan kunci utama untuk memecahkan kepompong keterbelakangan serta mengangkat
masyarakat keluar daripada belenggu kemiskinan.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah mendidik seorang anak bangsa bermakna kita sedang membina sebuah negara yang bermaruah, mempunyai ketahanan, dan
mampu bersaing.
“Kepada generasi muda, jangan pernah gentar untuk bermimpi besar, jadikan ilmu sebagai senjata dan perisai dalam menempuh cabaran,” titah Baginda.
DITERJEMAHKAN MENJADI REALITI
Titah Baginda dengan ilmu, segala cita-cita mampu diterjemahkan menjadi realiti, dan impian besar berupaya mengubah wajah bangsa menuju masa depan yang gemilang.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian sempena majlis Penganugerahan Anugerah Dewan Kehormatan Ubudiyah di Auditorium Universitas Deztron Indonesia (UDI), Medan, Indonesia.
LUHUR DAN SUCI
Baginda bertitah pengiktirafan dari UDI ini adalah simbol tanggungjawab yang luhur dan suci.
“Ia mengiktiraf usaha memartabatkan pendidikan, memelihara kebajikan, serta menegakkan kepimpinan berwawasan,” kata beliau.
“Amanah ini memperteguh iltizam Raja Puan Muda Perlis dan saya sendiri untuk terus berkhidmat, mengangkat martabat ilmu dan menyinari kehidupan umat dengan cahaya harapan, InshaAllah,” titah Baginda.
ATAS PERANAN BESAR
Baginda turut menghargai jasa Pengerusi Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE), Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin, yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) atas peranan besar dalam memperkukuh jaringan antarabangsa.
Titah Baginda dengan ilmu, segala cita-cita mampu diterjemahkan menjadi realiti, dan impian besar berupaya mengubah wajah bangsa menuju masa depan yang gemilang.
“Anugerah daripada UDI untuk Raja Puan Muda Perlis dan dan saya sendiri ini juga didedikasikan kepada seluruh pendidik dan pejuang masyarakat,” katanya.
WIRA TANPA SENJATA
Titah Baginda mereka adalah wira tanpa senjata berjuang dengan keikhlasan demi membina asas tamadun bangsa.
“Saya juga ingin menzahirkan penghargaan khusus kepada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), yang sentiasa menjadi rakan strategik yang komited bersama Universitas Ubudiyah Indonesia dan kini dikenali UDI dalam usaha bersama mengangkat martabat ilmu dan memajukan masyarakat serantau,” katanya.
Sesungguhnya, titah Baginda bangsa yang menyanjung tinggi nilai pendidikan akan terus teguh, dikenang, dan disegani sepanjang zaman.
Pada majlis berkenaan Raja Muda, Raja Puan Muda Perlis berkenan menerima anugerah tertinggi oleh Yayasan Ubudiyah Indonesia dan UDI Medan.
ANUGERAH DEWAN KEHORMATAN
Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dipilih menerima penganugerahan Anugerah Dewan Kehormatan Tertinggi Ubudiyah.
Manakala Raja Puan Muda Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil pula menerima Anugerah Bakti Mulia Ubudiyah – JM
Tarikh kemaskini: 9/29/2025