7Ogos 2025. Arau. Penguasaan ilmu pengetahuan serta teknologi terkini bukan lagi satu kelebihan, malah ia adalah satu keperluan.
Pada masa yang sama, keusahawanan adalah salah satu tunjang utama dalam merancakkan ekonomi negeri ini. Para usahawan merupakan aset yang memiliki keberanian, daya inovasi serta ketahanan dalam menghadapi pelbagai cabaran.
Maka, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menyokong dan membimbing mereka agar terus maju dan berdaya saing, selaras dengan kehendak semasa dan kemajuan teknologi.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di sekitar Kg. Behor Mentalon, Arau baru-baru ini.
Berangkat sama mengiringi baginda ialah Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Kayuhan MAIPs Peduli merupakan inisiatif kebajikan yang diterajui sendiri oleh baginda selaku Yang DiPertua MAIPs. Program ini menggabungkan aktiviti riadah berbasikal dengan usaha menyantuni masyarakat setempat secara langsung.
Melalui pendekatan turun padang dan interaksi mesra bersama rakyat, aktiviti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara MAIPs dan komuniti, malah turut memupuk nilai-nilai murni seperti kasih sayang, kepedulian dan tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat.
Sempena kayuhan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan zakat daripada MAIPs berupa wang tunai sebanyak RM700, Kit MAIPs Peduli, serta beras fidyah kepada para asnaf terpilih.
Antara penerima sumbangan edisi kali ini ialah Saudah Mahamud, 77 tahun dari Kampung Lahar Jambu, Intan Sharina Daud, 21 tahun dari Kampung Behor Mentalon, Rahim Bakar, 53 tahun dari Kampung Pida 3 Semut Gatal dan Abdul Ghani Yahaya, 75 tahun dari kampung yang sama.