Penyelidikan Perlu Beri Penyelesaian Kepada Cabaran Sebenar – Raja Muda Perlis

Penyelidikan Perlu Beri Penyelesaian Kepada Cabaran Sebenar – Raja Muda Perlis

GEORGE TOWN, 1 Sept — Hasil penyelidikan tidak seharusnya sekadar berakhir sebagai laporan, jurnal atau penerbitan, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada penyelesaian terhadap cabaran sebenar yang memberi manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penyelidikan merupakan antara pemangkin penting dalam membawa kemajuan dan pembangunan sesebuah negara.

Baginda bertitah, penerokaan bidang baharu dalam sains dan teknologi juga perlu bergerak seiring dengan tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar serta kepentingan generasi akan datang.

“Dalam kita terus meneroka bidang baharu dalam sains dan teknologi, kita juga perlu memastikan setiap kemajuan yang dicapai mengambil kira kepentingan alam sekitar dan generasi akan datang.

“Kemajuan yang sebenar bukan hanya tentang sejauh mana kita mampu melangkah, tetapi sejauh mana kita mampu mencipta perubahan yang memberi manfaat dan terus dirasai oleh generasi akan datang,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Global Trends in Engineering and Science Technology Congress (GTEST 2026) di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC), di sini.

Baginda yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terus memberikan komitmen dalam membentuk graduan universiti itu supaya bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, malah mempunyai keupayaan memimpin serta menyumbang kepada pembangunan negara.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pro Canselor UniMAP serta anakanda puteri kedua baginda berdua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan baginda disambut Naib Canselor UniMAP, Prof Ts Dr Zaliman Sauli.

GTEST 2026 anjuran UniMAP menghimpunkan ahli akademik, penyelidik, jurutera dan pakar industri dari seluruh dunia bagi berkongsi pengetahuan, meneroka perkembangan terkini serta memperkukuh jaringan kerjasama dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknologi.

Penganjuran kali ini turut memperkukuh jaringan antarabangsa menerusi kolaborasi strategik dengan Tokyo University of Science (TUS), Jepun, selain menggabungkan beberapa persidangan termasuk Western Belt Electronics Technology Conference (WESTAC 2026), IQ-SITE 2026 dan IC-BUSCLi 2026.

Kongres yang bermula hari ini dijangka menampilkan ratusan kertas kerja penyelidikan mutakhir berkaitan perkembangan dan trend global, kelestarian serta inovasi dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknologi.

Sempena majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) antara UniMAP dengan beberapa rakan strategik sektor industri dan akademia.

MoU berkenaan melibatkan Renesas Semiconductor Malaysia Sdn Bhd, Maths Proofread, Aemulus Corporation, Horizontal Integration Malaysia Sdn Bhd, AT&S Austria Technologie & Systemtechnik (Malaysia) Sdn Bhd serta Altera Malaysia.

MoA pula melibatkan Cancer Survivors Malaysia, Renesas Electronics (Penang) Sdn Bhd dan ADA Biotech Sdn Bhd.

Kerjasama berkenaan merupakan sebahagian usaha UniMAP memperluas jaringan strategik bersama industri, memperkasa ekosistem penyelidikan dan memastikan kepakaran serta inovasi universiti dapat dimanfaatkan secara lebih meluas.

Pada majlis sama, baginda turut berkenan menyaksikan penyerahan cek geran penyelidikan daripada pihak industri kepada UniMAP oleh Fermpro, Cancer Survivors Malaysia, Renesas dan Nagoya bagi menyokong aktiviti penyelidikan dan pembangunan universiti.

Inisiatif itu dijangka memperluas ruang penghasilan penyelesaian berasaskan penyelidikan, selain memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dengan industri dalam menangani keperluan dan cabaran semasa.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.