Oleh: Sholina Osman
7 APRIL 2026
Pelbagai konflik dan pergolakan yang berlaku di dunia hari ini seperti Perang Teluk serta krisis yang masih berlarutan di beberapa negara menjadi peringatan bahawa perpecahan hanya akan melemahkan umat.
Keadaan ini menuntut kita agar tidak lagi membuang masa mencari kekurangan sesama sendiri, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha menyatukan ummah, memperkukuh kekuatan bersama, serta memelihara keharmonian masyarakat.
Dalam usaha tersebut, institusi masjid memainkan peranan yang amat penting sebagai medan penyatuan umat.
MEMIKUL TANGGUNGJAWAB BESAR
Justeru, semua pihak memikul tanggungjawab besar untuk mengimarahkan masjid, membimbing masyarakat dengan hikmah, serta mendidik generasi muda agar memahami bahawa kekuatan umat terletak pada perpaduan, ilmu dan akhlak yang mulia.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai Program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Mata Ayer baru-baru ini.
Program ini bukan sekadar aktiviti berbasikal, malah berperanan sebagai medium efektif untuk menyalurkan bantuan secara terus kepada golongan sasar, sekali gus memastikan tiada individu yang memerlukan tercicir daripada menerima bantuan sewajarnya.
Antara penerima sumbangan MAIPs kali ini ialah Saad Sharif, 72, dari Kampung Mata Ayer; Zabidah Jusoh, 73, dari Kampung Pokok Petai, Mata Ayer; dan Rosnah Ali, 73, dari Lorong Tok Daud, Kampung Mata Ayer. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia