Oleh: Sholina Osman
23 SEPT. 2025
Kesedaran terhadap penipuan dalam masyarakat wajar diperkasa bagi menghalang “scammers” daripada terus berleluasa.
Penipuan bukan sahaja mengakibatkan kerugian wang ringgit, malah berpotensi memusnahkan keharmonian keluarga serta meruntuhkan ikatan dalam komuniti.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di sekitar Bintong dekat Kangar baru-baru ini.
MENJADI MEDIUM PENTING
Program kayuhan amal ini menjadi medium penting untuk mendekati masyarakat, khususnya dalam menyantuni golongan asnaf di negeri Perlis.
Ia bukan sekadar aktiviti riadah berbasikal, bahkan turut menjadi wadah menyampaikan bantuan secara langsung kepada penerima yang layak, di samping memperkenalkan pelbagai inisiatif MAIPs dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Dalam kesempatan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM700, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah pada setiap asnaf terpilih.
EDISI KALI INI
Antara penerima sumbangan pada edisi kali ini ialah Noraini Othman, 75; Siti Ajar Mohamad, 93; dan Siti Rukiah Karim, masing-masing dari Kampung Telok Jambu.
Seiring dengan usaha mempromosikan Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024–2026, Tuanku Raja Muda turut berkenan berangkat singgah melawat ke Shais Homestay, sebuah inap desa moden yang menawarkan kediaman selesa dengan reka bentuk kontemporari di 1618 Jalan Kurong Batang, Kampong Nesam.
Setiap bilik dilengkapi penghawa dingin, ruang tamu yang sesuai untuk keluarga, serta dikelilingi panorama hijau dan suasana kampung yang damai. – JM