Perlis Angkat Agenda Asnaf ke Pentas Global

Medan, Indonesia, 26 Sept – Persidangan Antarabangsa International Conference on Holistic Opportunities for Poverty Empowerment (ICOHOPE 2025) mencatat sejarah apabila buat pertama kali dianjurkan di luar Malaysia, iaitu di Grand Mercure Hotel, Medan.

Majlis perasmian disempurnakan oleh DYTM Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berangkat bersama DYTM Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Turut hadir, Menteri Besar Perlis serta tokoh akademik, penyelidik dan wakil universiti Malaysia–Indonesia.

Titah Perasmian: Asnaf Isu Sejagat
Dalam titah baginda, Tuanku Raja Muda menegaskan bahawa pemerkasaan asnaf bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi merangkumi pendidikan, kesihatan, tempat tinggal, keselamatan makanan, teknologi dan pembangunan modal insan.

“Persidangan ini meletakkan isu asnaf dalam kerangka global. Kejayaan pengurusan zakat di sebuah negara wajar dijadikan rujukan oleh negara lain,” titah baginda.

36 Geran Penyelidikan & Inovasi AI

Pengerusi FCoEE, Prof. Emeritus Datuk Ts. Dr. Kamarudin Hussin berkata, ICOHOPE 2025 menjadi platform penting membentangkan 36 geran penyelidikan FCoEE Fasa II dengan penglibatan lapan IPT.

Antara dapatan: agihan zakat holistik MAIPs meningkatkan prestasi akademik anak asnaf dan kualiti hidup keluarga miskin tegar; program keusahawanan menambah pendapatan dan membuka peluang e-dagang; manakala kajian terhadap 748 pelajar membina asas program STEM/TVET baharu.

Buat pertama kali, kajian turut menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi membangunkan dashboard analitik untuk klasifikasi asnaf lebih tepat dan berkesan.

Pengiktirafan Antarabangsa untuk Perlis

ICOHOPE 2025 turut menyaksikan pengiktirafan antarabangsa kepada kepimpinan Perlis.
DYTM Raja Muda Perlis dianugerahkan Anugerah Dewan Kehormatan Ubudiyah (UDI), Doktor Kehormat (Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara) dan Anugerah Bintang Tertinggi Muhammadiyyah (Mitra Lestari Muhammadiyah Internasional).

DYTM Raja Puan Muda Perlis menerima Anugerah Bakti Mulia Ubudiyah daripada Universitas Deztron Indonesia.

Perlis pemacu global

Menurut penganjur, ICOHOPE 2025 bukan sekadar acara ilmiah, tetapi simbol peranan Perlis sebagai pemacu agenda pendidikan, penyelidikan dan pembangunan sosial di pentas global, di samping mengukuhkan hubungan Malaysia–Indonesia dalam aspek ilmu dan kemasyarakatan.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content