PERLIS PERKUKUH JARINGAN ANTARABANGSA MELALUI UNIMAP, SUMBANGAN ZAKAT DISALURKAN KE MASJID ISTIQLAL

Jakarta, 19 September – Perlis sebagai sebuah negeri kecil tetapi strategik terus meneguhkan kedudukannya di pentas antarabangsa melalui kerjasama pendidikan dan sosial yang dilaksanakan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, segala bentuk kerjasama yang dijalinkan UniMAP di peringkat global bukan sahaja memberi manfaat kepada universiti, malah turut menyumbang kepada pembangunan negeri Perlis dari aspek teknologi, sosial dan ekonomi berasaskan ilmu.

“Mahasiswa UniMAP perlu sentiasa memanfaatkan peluang ini untuk memperkukuh jati diri, memperluas cakrawala ilmu dan membina sahsiah berteraskan nilai luhur,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan menyampaikan sumbangan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada Masjid Istiqlal di Jakarta. Sumbangan itu diterima Pegawai Unit Pengumpul Zakat (UPZ) Badan Zakat Nasional (BAZNAS), Bpk. Suginarto.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahrreen Akashah Khalil, yang juga Tuanku Pro Canselor UniMAP. Baginda berdua turut menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah di masjid berkenaan, sempena program International Leadership Mobility 2025 UniMAP di Indonesia.

Dalam konteks kunjungan kerja kali ini, Tuanku Syed Faizuddin menitipkan pesan kepada warga UniMAP agar menjadi generasi muda yang mampu menjadi jambatan persaudaraan antara Malaysia dan Indonesia serta pembawa perubahan positif kepada masyarakat sejagat.

Antara bidang kerjasama yang dilihat berpotensi diterokai termasuklah pertukaran pelajar dan pensyarah, kolaborasi penyelidikan dalam teknologi dan inovasi, pengurusan bandar lestari, pembangunan sosial serta advokasi hak masyarakat.

Untuk rekod, Masjid Istiqlal ialah masjid terbesar di Asia Tenggara yang mampu menampung lebih 200,000 jemaah pada satu masa. Disiapkan pada 1961, ia menjadi simbol kemerdekaan masyarakat Indonesia – justeru dinamakan “Istiqlal” yang bermaksud “merdeka”.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.